BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan enam warga tempatan dan rampasan dadah serta sitaan harta berjumlah RM96,546.12, dalam tiga serbuan di daerah Seberang Perai Tengah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita tempatan berumur antara 31 tahun sehingga 56 tahun yang terlibat dengan pengedaran ganja untuk pasaran tempatan.

"Serbuan pertama di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Permatang Rawa pada 12 Sept pada pukul 8.30 malam, dengan tiga lelaki ditahan bersama sembilan ketulan mampat ganja dengan anggaran berat 6,350 gram (g) bernilai RM15,875 serta selaras senapang buatan sendiri dan 19 butir peluru.

"Penahanan itu telah membawa kepada serbuan kedua dan seorang lagi suspek ditangkap di tepi jalan berhampiran Pangsapuri Seri Pauh pada jam 9.30 malam, bersama satu ketulan mampat daun kering disyaki berisi ganja anggaran berat 244.77g bernilai RM611.92," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Tan berkata serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di kawasan Tanah Liat dan polis menahan sepasang suami isteri bersama dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi 1,045.68g ganja bernilai RM2,614.20, serta satu plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin seberat 7g bernilai RM245.

Selain itu, pihak polis turut menyita dua buah kereta, tiga buah motosikal dan wang tunai RM11,400 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM96,546.12.

Tan berkata semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan kira-kira 15,280 penagih dan siasatan polis mendapati sindiket pengedaran dadah itu mula aktif sejak awal tahun ini, dengan tumpuan mereka kepada pasaran tempatan.

"Dua daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing ke atas semua tangkapan mendapati empat daripada mereka positif dadah.

"Semua suspek kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971," katanya.

-- BERNAMA