Skip to main content

Malaysia

Polis tumpaskan sindiket dadah, rampas syabu RM1.35 juta di Kuching

IPK KUCHING
Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Kuching dan Padawan pada 3 hingga 4 Julai lepas, dengan rampasan dadah 26.97 kilogram (kg) disyaki methamphetamine (syabu) bernilai RM1.35 juta. - Gambar IPK Kuching
Advertisement

KUCHING: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Kuching dan Padawan pada 3 hingga 4 Julai lepas, dengan rampasan dadah  26.97 kilogram (kg) disyaki methamphetamine (syabu) bernilai RM1.35 juta.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, dalam operasi dari 4.35 petang hingga 12.30 tengah malam itu, polis menahan tujuh individu terdiri empat warga tempatan serta tiga warga Indonesia, dengan lingkungan usia antara 25 hingga 46 tahun.

Beliau berkata, serbuan pertama di kawasan perumahan di Jalan Matang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan rampasan 60.5 gram (g) dadah disyaki methamphetamine.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Batu Kawa dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, seorang wanita tempatan berusia 44 tahun, dua lelaki Indonesia masing-masing berusia 37 dan 46 tahun, serta seorang wanita Indonesia berusia 34 tahun.

Pemeriksaan menemukan 5.45g dadah disyaki methamphetamine.

“Serbuan ketiga di hadapan sebuah kedai di Jalan Setia Raja, Stutong membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dengan 5.3kg dadah disyaki methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, maklumat hasil tangkapan itu, kemudian membawa kepada serbuan keempat di sebuah pangsapuri di Jalan Tabuan Tranquility, yang menemukan 21.6kg lagi dadah disyaki methamphetamine.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 134,500 penagih. Siasatan mendapati ahli sindiket yang ditahan menerima upah antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan sebagai runner, bagi mengedar dadah di sekitar Kuching dan Padawan,” katanya.

Alexson berkata, modus operandi dipercayai menerima arahan daripada upliner untuk menghantar dadah menggunakan kaedah drop and collect, iaitu meletakkan bekalan dadah di lokasi yang ditetapkan tanpa bersemuka dengan pelanggan, bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement