KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan tiga tapak Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) membabitkan 554 unit rumah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek berkenaan melibatkan masing-masing 200 unit rumah bagi Felda Bukit Aping Timur dan Felda Pasak di Johor serta 154 unit bagi Felda Kerteh 5, Terengganu yang diumumkan beliau pada Hari Peneroka Felda 7 Julai lepas.
Bagi projek Rumah Pahang di Felda Jengka 11, Anwar berkata projek tersebut telah diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).
“Untuk makluman, status kemajuan projek pada tahun 2025 adalah sebanyak 75 peratus manakala pada masa ini projek tersebut berada pada peringkat penyelenggaraan di bawah pihak yang bertanggungjawab,” kata beliau dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen.
Anwar menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan pelaksanaan dan status terkini projek perumahan Generasi Baharu Felda yang telah disiapkan termasuk status serta garis masa penyelesaian Rumah Pahang di Felda Jengka 11, Bandar Jengka, yang sebelum ini pada awal 2025 telah mencapai 71 peratus kemajuan.
Anwar berkata PGBF telah bermula sejak 2013 dan sebanyak 12 tapak melibatkan 2,458 unit rumah berkenaan telah siap dibina dan diduduki oleh generasi baharu yang layak.
-- BERNAMA