BUKIT MERTAJAM: Polis sedang menunggu laporan kimia bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan yang mengakibatkan dua maut di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju arah Perai, di sini, awal pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata ia membabitkan laporan kimia bagi sampel darah remaja lelaki berusia 16 tahun yang merupakan pemandu kereta yang merempuh sebuah motosikal, menyebabkan penunggang dan pemboncengnya maut.

"Setakat ini polis telah merekodkan keterangan beberapa saksi dan mereka yang terlibat dalam kemalangan, polis juga telah mendapatkan rakaman "dashcam" pemandu kenderaan lain yang berada di lokasi semasa kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya siasatan kejadian kemalangan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kemalangan kira-kira 2.30 pagi itu, dua maut elepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta Toyota Lexus dipandu remaja terbabit yang hilang kawalan setelah melanggar sebuah lori, dan susulan kemalangan itu, polis turut menyaman ibu remaja itu kerana cuai apabila membenarkan anaknya memandu kenderaannya tanpa lesen.

-- BERNAMA