MALAYSIA
Pondok kepimpinan program literasi kenegaraan untuk golongan muda

Zulkifli berkata, program itu diwujudkan bagi menjawab cabaran semasa yang dihadapi anak muda termasuk penyebaran maklumat palsu, ekstremisme digital serta cabaran polarisasi sosial dan politik.
PUTRAJAYA: Program literasi kenegaraan khusus untuk anak muda dan mahasiswa 'Pondok Kenegaraan' dilancarkan hari ini bagi memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai isu kenegaraan, modul kepimpinan dan literasi media.
Program berbentuk bengkel yang bakal melahirkan generasi pemimpin muda berwibawa dan berfikiran kritis dalam menghadapi cabaran semasa itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Zulkifli dalam kenyataan berkata program itu diwujudkan bagi menjawab cabaran semasa yang dihadapi anak muda termasuk penyebaran maklumat palsu, ekstremisme digital serta cabaran polarisasi sosial dan politik.
"Ia juga diharap dapat menangkis naratif keagamaan sempit melalui pelbagai platform, khususnya di media sosial."Saya yakin inisiatif Pondok Kepimpinan ini mampu melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang wasati (sederhana, seimbang) dalam pemikiran, bijaksana dalam tindakan dan berpandangan jauh dalam wawasan yang diharapkan mampu memandu masyarakat dengan hikmah serta membina landskap kenegaraan yang sejahtera," katanya.
Sejumlah 37 bengkel akan dijalankan di seluruh negara dengan tumpuan utama penyertaan oleh anak muda dan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.
Program yang dikendalikan oleh Merdeka Center itu turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Rakan strategik program termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan organisasi masyarakat sivil lain.
Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Suffian dalam kenyataan sama berkata menerusi inisiatif Pondok Kepimpinan, golongan muda dapat memahami konsep kenegaraan serta mengasah keupayaan menilai isu semasa dengan pemikiran kritis dan konstruktif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami