Parti-parti politik yang meletak calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson diberi amaran untuk tidak lagi menggunakan barang kempen pada hari pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan@Harun berkata, beliau menerima aduan terdapat dua parti politik yang berbuat demikian.

"Saya diberitahu ada dua parti politik letak khemah yang dipenuhi bendera mereka di depan pusat-pusat mengundi. Tak perlu saya sebut parti politik mana yang berbuat demikian.

"Ini dilarang kerana waktu kempen sudah tamat. Jika nak letak pun, letak jauh sikit, sekurang-kurangnya 50 meter dari pusat mengundi," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Port Dickson hari ini.

Sementara itu, Azhar memberitahu sejak jam 10 pagi, peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 17 peratus.

"Memandangkan cuaca baik ketika ini, saya harap semua pengundi di sini keluarlah mengundi secepat yang boleh."

32 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sudah mula dibuka sejak jam 8 pagi dan akan berakhir jam 5:30 petang nanti.

Seramai 68,317 orang akan mengundi hari ini daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar iaitu sebanyak 75,770 orang.

Ini melibatkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, keputusan PRK dijangka akan diumumkan selewatnya pada jam 10 malam ini di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

PRK ini melibatkan pertandingan tujuh penjuru antara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin membuat kemunculan semula ke Dewan Rakyat.

Selain Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut bertanding adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad, calon PAS Mohd Nazari Mokhtar serta bekas pembantu peribadi Anwar Saiful Bukhari Azlan.

Tiga calon Bebas lain adalah Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Stevie Chan.

Kerusi Parlimen Port Dickson ini dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar.