MALAYSIA
Pos Malaysia teroka model perniagaan baharu untuk pacu pertumbuhan

Pos Malaysia Bhd akan menggunakan model perniagaan baharu mulai suku keempat 2025 agar ia mampu menangani cabaran dalam perkhidmatan mel tradisional dan memacu pertumbuhan masa depan.
KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd akan menggunakan model perniagaan baharu mulai suku keempat 2025 agar ia mampu menangani cabaran dalam perkhidmatan mel tradisional dan memacu pertumbuhan masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer berkata, Pos Malaysia menghadapi penurunan dalam jumlah mel, trafik pelawat di pejabat pos termasuk persaingan sengit dalam pasaran penghantaran bungkusan.
Syarikat itu tidak mempunyai banyak opsyen tetapi perlu menyesuaikan diri, memandangkan jumlah mel tradisional telah menyusut 79 peratus sejak 2012, yang mana, purata isi rumah Malaysia kini menerima hanya 27 surat setahun berbanding 173 pada 2012.
"Pada masa yang sama, bilangan pelanggan yang melawat pejabat pos kami terus menurun, manakala pasaran penghantaran bungkusan menjadi semakin sempit dengan lebih 100 operator berlesen," katanya semasa satu taklimat media baru-baru ini.Menurut Brewer, Pos Malaysia akan menjalankan sebanyak tiga pembuktian konsep (POC) bagi menguji strategi transformasinya.
Inisiatif pertama melibatkan penggabungan rangkaian surat dan bungkusan ke dalam satu sistem penyampaian menyeluruh, sekarang ini, 45 peratus sudah disatukan dan ia dijangka selesai menjelang 2028.
"Ini membolehkan penggunaan sumber yang lebih baik serta meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos hujung ke hujung dalam setiap penghantaran, menambah kapasiti dan menyokong matlamat alam sekitar kami dengan meminimumkan pelepasan," katanya.
Percubaan kedua akan menguji penghantaran mel alternatif di Sungai Siput, Perak dari 1 Nov depan hingga 31 Jan 2026, meliputi mel standard, mel bukan standard dan surat berdaftar.
"Penghantaran harian alternatif telah berjaya dilaksanakan di negara lain. Ia sejajar dengan perubahan trend dalam jumlah mel, menjimatkan kos, mengurangkan kesesakan dan pelepasan karbon," kata Brewer.
Percubaan ketiga akan memberi tumpuan kepada rangkaian runcit, yang mana lapan lokasi pejabat pos sedia ada akan ditutup dan digantikan dengan 13 cawangan yang dikendalikan oleh ejen, yang turut dikenali sebagai titik kutipan dan serahan (PUDO).
Pejabat Pos Malaysia yang akan ditutup adalah di Perak (Bidor, Hutan Melintang, Mengglembu), Selangor (Jalan Chamberlain, Batu 9 Cheras, Jenjarom, Kuala Selangor) dan Kuala Lumpur (Salak Selatan).
Untuk POC ini, Pos Malaysia akan memperluaskan penggunaan rakan kongsi sedia ada seperti Mail Boxes Etc (MBE), CollectCo dan ATX, bersama dengan lokasi Pos Mini.
Brewer berkata, perubahan ini tidak dapat dielakkan kerana syarikat itu perlu mengambil langkah berani bagi memastikan kemampanan jangka panjangnya, untuk 16,000 kakitangan dan rakyat Malaysia yang amat bergantung kepada perkhidmatan pos.
Beliau menjelaskan, Pos Malaysia juga mencontohi pengalaman di luar negara, memetik contoh-contoh dari Sweden, Norway, Denmark dan Finland serta Royal Mail di United Kingdom dan Australia Post.
"Kami bercakap dengan pengendali pos yang telah melaksanakan pendekatan ini untuk mengetahui paras kejayaannya, jadi melalui POC ini, kami akan dapat menerapkan pelajaran yang sesuai dengan operasi kami," katanya lagi.
Brewer menambah bahawa fasa percubaan ini tidak akan melibat pemberhentian pekerja, kakitangan yang berlebihan akan ditugaskan semula dalam bahagian lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami