Potongan caruman Perkeso babit 3,879 nelayan pada 15 Ogos ini

Bernama
Ogos 12, 2020 22:22 MYT
Semua nelayan digalakkan mencarum kerana implikasi daripada pelaksanaan itu, penerima ESH tidak lagi diinsuranskan oleh pengendali syarikat insurans atau takaful, sebaliknya diganti kepada Perkeso. - Gambar hiasan
Potongan caruman Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan 3,879 nelayan zon A iaitu pemilik dan awak-awak serta nelayan zon B, C dan C2 (awak-awak) sebanyak RM157.20 pada 15 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam kenyataan menjelaskan caruman melalui Sistem Program Insentif Nelayan (FIP) itu adalah sekali potongan dalam tempoh setahun akan dilakukan secara berperingkat.
Selaras dengan Pewartaan P.U.(A)374 Perintah Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Pindaan Jadual Pertama 2019) pada 30 Dis 2019, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil tindakan bagi menyahut pewartaan ini untuk mencarum golongan yang bekerja sendiri termasuklah nelayan.
"Antara tindakan telah dilaksanakan selaras dengan pewartaan tersebut adalah, LKIM mendapatkan kelulusan penggantian caruman insurans berkelompok nelayan kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar (MJKD).
"LKIM telah mengadakan sesi engagement (libat urus) dan menyampaikan taklimat berkaitan SKSPS kepada nelayan di seluruh negera secara berperingkat."
Menurut kenyataan itu, semua nelayan diwajibkan dan digalakkan mencarum kerana implikasi daripada pelaksanaan itu, nelayan yang menerima Elaun Sara Hidup (ESH) tidak lagi diinsuranskan oleh pengendali syarikat insurans atau takaful, sebaliknya diganti kepada Perkeso.
Nelayan juga merupakan golongan terawal yang mencarum SKSPS di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Nelayan yang tidak menerima ESH digalakkan membuat caruman SKSPS secara sukarela di mana-mana kaunter caruman pendaftaran SKSPS di Perkeso seluruh negara, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#awak-awak #bekerja sendiri #caruman #Elaun Sara Hidup #FIP #insentif #insurans #insurans berkelompok #Kementerian Pertanian dan Industri Makanan #keselamatan #LKIM #Malaysia #nelayan #perkeso #potongan