MALAYSIA

PPM Langkawi patahkan cubaan seludup peranti, cecair vape ke Thailand

Adie Sufian Zulkefli 15/01/2026 | 02:30 MYT
Kesemua peranti dan cecair vape yang dirampas dianggarkan bernilai RM178,400. - Foto PPM
LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis peranti dan cecair vape ke Thailand menerusi Op Taring Landai dalam satu operasi di Ayer Hangat, pada Rabu.

Pemangku Komander PPM Wilayah 1, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi berkata, beberapa kotak berisi barangan tersebut ditemui di kawasan paya bakau berhampiran anak sungai Kampung Ewa, sekitar jam 1 pagi.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada individu berada di lokasi kejadian.


“Kesemua peranti dan cecair vape yang dirampas dianggarkan bernilai RM178,400.

"Barang rampasan itu dibawa ke Markas Operasi PPM Langkawi sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan memiliki atau menyimpan barang larangan yang disyaki diseludup.






#cubaan menyeludup #vape #PPM Langkawi #Fakharuddin Amri Sanusi