Kerajaan diharap mengambil kira pandangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pencegahan Rasuah (UNCAC) berkaitan pelantikan dan pelucutan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Datuk Johan Jaafar berkata ini bagi memastikan badan itu benar-benar bebas.

"Sehubungan itu, PPPR menyokong penuh cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang telah dipersetujui kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan semalam berkata antara cadangan yang terkandung dalam laporan penilaian UNCAC bagi Malaysia ialah menjadikan SPRM badan suruhanjaya berasingan dengan terma dan syarat pekerjaannya sendiri.

Cadangan lain ialah meningkatkan kedudukan pesuruhjaya supaya setaraf hakim atau Peguam Negara.
"PPPR menyokong penuh sebarang usaha untuk memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan bebas dan berkesan," kata Johan.

Beliau berkata PPPR turut berpuas hati UNCAC telah mengenal pasti 23 amalan baik yang dilaksanakan Malaysia untuk memerangi rasuah.

UNCAC merupakan konvensyen antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang mewajibkan negara anggota melaksanakan langkah pencegahan rasuah secara luas dan terperinci.