TAWAU: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau bagi menempatkan 47 mangsa kebakaran selepas sembilan rumah di Lorong 4, Taman Victoria musnah dalam kebakaran, semalam.

Sektretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan PPS itu diaktifkan pada 8.30 malam bagi menempatkan 47 mangsa daripada 12 keluarga terjejas akibat kejadian berkenaan.

"Mangsa terdiri daripada 21 lelaki dewasa, 15 wanita serta enam kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan," menurut kenyataan.

Kira-kira 40 penghuni rumah teres dua tingkat di Taman Victoria kehilangan tempat tinggal selepas sembilan buah rumah di Lorong 4 taman itu musnah dalam kebakaran tengah hari, semalam

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy berkata beliau akan menghubungi Majlis Perbandaran Tawau bagi mengenal pasti kekosongan unit rumah di bawah program perumahan rakyat (PPR) susulan terdapat permohonan daripada mangsa kebakaran.

"Ada dalam kalangan mangsa tidak berkemampuan dan perlu dibantu dari segi rumah," katanya yang turut melawat mangsa di PPS dan menghulur bantuan wang tunai kepada ketua keluarga.

-- BERNAMA