KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 Sinovac sebagai dos penggalak akan tersedia di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara percuma, mulai Isnin (14 Feb).

Menurut ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, mereka yang layak untuk dos penggalak dan ingin mendapatkan vaksin jenis Sinovac boleh menyemak senarai PPV Luar Tapak di laman web www.protechhealth.com.my.

Bagaimanapun, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mengesyorkan dos penggalak jenis Pfizer untuk penerima Sinovac kerana ia menawarkan tahap perlindungan yang lebih tinggi.

Pada 7 Feb lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM akan membenarkan penerima dos primer Sinovac (dos pertama dan kedua) mendapatkan vaksin serupa sebagai dos penggalak.

Jelasnya ketika itu, seramai 3.5 juta penerima vaksin Sinovac dikenal pasti belum mengambil suntikan dos penggalak pelalian COVID-19.

3.5 juta penerima vaksin Sinovac belum terima dos penggalak