Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kutipan zakat itu merangkumi zakat fitrah, zakat harta dan wakaf tunai.
"Daripada jumlah RM195.5 juta itu, kami menyasarkan untuk mengutip RM15 juta bagi zakat fitrah, RM178 juta bagi zakat harta dan RM2.5 juta bagi wakaf tunai.
"Jumlah ini adalah peningkatan daripada kutipan pada tahun lepas iaitu RM175.9 juta,” katanya pada pelancaran Kempen Ramadan 2024 di Wisma PPZ-MAIWP.
Sempena menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak, PPZ-MAIWP melancarkan Kempen Ramadan bertujuan menggalakkan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan ibadah zakat dan berwakaf.
Disempurnakan oleh Abdul Hakim, kempen itu turut menjadi medium bagi menguar-uarkan perkhidmatan dan saluran bayaran sepanjang Ramadan tahun ini.
Kempen yang membawa tema “Nikmat Memberi” itu menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik sepanjang Ramadan antaranya aktiviti turun padang, Program Let’s Ngaji dan 1 Hari 1 Doa Bersama penceramah selebriti Uztaz Don Daniyal Biyajid, Ramadan Rewards serta pelbagai lagi pengisian ilmiah.
Selain itu, PPZ-MAIWP juga menyediakan ruang niaga kepada usahawan-usahawan asnaf melalui program Booth Asnaf Preneur yang akan dibuka di kaunter-kaunter terpilih sebagai tanda sokongan dalam memperkasakan ekonomi usahawan asnaf.
Selaras dengan moto PPZ-MAIWP iaitu “Memudahkan Anda Berzakat” pelbagai saluran disediakan bagi memudahkan urusan pembayaran zakat antaranya di kaunter PPZ-MAIWP, portal rasmi zakat.com.my, aplikasi MyZakat, skim potongan zakat bulanan, kaunter zakat bergerak serta ejen-ejen kutipan zakat berdaftar.
Orang ramai dijemput untuk mengikuti laman Facebook, Instagram, serta TikTok rasmi Pusat Pungutan Zakat bagi mendapatkan perkembangan terkini dan informasi menarik.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, layari www.zakat.com.my/ramadan2024 atau hubungi talian 1 300 88 5757 atau e-mel kepada [email protected].