KUALA LUMPUR : Pra-Mesyuarat Raja-Raja Melayu ke-260 di Istana Negara hari ini selesai selepas lebih sejam ia berlangsung.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan pertama sekali dilihat berangkat meninggalkan Istana Negara sekitar 12.30 tengah hari.

Selain Tuanku Muhriz, turut berangkat hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Enam lagi Raja Melayu ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar serta Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Dalam pada itu, berangkat sama ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; serta Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara itu, Kelantan diwakili Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Pra-Mesyuarat berkenaan diadakan sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang akan bersidang secara rasmi selama dua hari, bermula esok.

Kali terakhir Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersidang adalah pada 29 Jun lalu, dan ia dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin.

Selain keberangkatan tiba Raja-Raja Melayu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 akan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri Besar, serta Ketua Menteri.

Kebiasaan Mesyuarat Majlis Raja-Raja menyentuh perkembangan semasa dalam negara, dan cabaran mendatang termasuk ekonomi.

Agenda lain yang turut disentuh ialah kemajuan hal ehwal agama Islam dan pembaharuan institusi Islam negara; selain taklimat mengenai keselamatan dan pertahanan negara.