JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto berlepas ke Washington pada Isnin untuk lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) dengan mesyuarat dua hala bersama Presiden AS Donald Trump dalam agenda.
Menurut Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden, Prabowo dan delegasinya berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma, di sini.
Advertisement
Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia serta Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya.
Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan dijangka membincangkan usaha memperkukuh hubungan Indonesia-AS serta memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai sektor.
“Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha diplomasi aktif Indonesia untuk mengukuhkan kedudukan nasionalnya dalam dinamika geopolitik global,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Pada 12 Feb, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto mengesahkan bahawa presiden turut dijadual menyertai mesyuarat sulung Lembaga Keamanan (BoP) yang dijadual berlangsung pada 19 Feb di Washington.
Airlangga berkata Prabowo juga dijangka menandatangani Perjanjian Indonesia-AS mengenai Tarif Timbal Balas (ART) bersama Trump di luar mesyuarat itu.
-- BERNAMA