Skip to main content

Malaysia

Ops Selamat 25: Polis dan JPJ perketat penguatkuasaan, jamin keselamatan pengguna jalan raya

81651138929_HIGHWAY.jpg
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempergiat kerjasama strategik bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan. - Gambar fail

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempergiat kerjasama strategik bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan, khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendent Muhammad Yatim Hadi Osman, berkata pelaksanaan Ops Selamat 25 memberi tumpuan kepada pengurusan mobiliti anggota, pencegahan kemalangan dan keselamatan komuniti.

Advertisement

Menurut beliau, operasi yang telah dilaksanakan sejak 25 tahun lalu itu melibatkan pelbagai pendekatan termasuk program advokasi bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya, selain kerjasama antara agensi keselamatan serta komuniti setempat.

“Kami menempatkan anggota di jalan persekutuan, lebuh raya dan lokasi tumpuan orang ramai. Pasukan Emergency Responder Team (ERT) turut digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi berkaitan bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Seksyen Operasi JPJ Selangor, Muslyfar Qamaruddin, berkata pihaknya menempatkan kira-kira 50 anggota setiap minggu sepanjang musim perayaan, manakala lebih 200 anggota digerakkan di seluruh Selangor bagi memantau pematuhan undang-undang jalan raya.

“Pasukan penguat kuasa termasuk unit bermotosikal dan penggunaan kamera pemantauan akan merakam kesalahan lalu lintas sebelum notis siasatan dikeluarkan. Ini bertujuan memberi kesedaran bahawa setiap pergerakan di jalan raya sentiasa dipantau,” jelasnya.

Beliau menambah, kesalahan lazim yang sering direkodkan termasuk memandu melebihi had laju, memotong secara berbahaya serta tidak mematuhi peraturan keselamatan.

Mengulas sikap segelintir pemandu yang hanya memperlahankan kenderaan apabila melihat papan tanda amaran kamera, beliau menegaskan perubahan sikap perlu bermula daripada pengguna sendiri demi keselamatan bersama.

Sementara itu, Superintendent Muhammad Yatim turut menasihatkan orang ramai agar memastikan keadaan fizikal diri dan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, selain mematuhi peraturan lalu lintas, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta mengamalkan sikap sabar dan bertolak ansur.

“Kami menjangkakan peningkatan kesesakan mulai hari ini sehingga sambutan Tahun Baharu Cina. Keselamatan adalah tanggungjawab bersama,” katanya lagi. 

 

Topic Berkaitan

Must Watch Video