NATIONAL
PRCA Malaysia dedah isu kontrak PR yang tidak adil

Dari kiri Prof Mohd Said Bani C.M. Din, Kamal Effendy, Sabriya Khan dan Shukreen Ma pada sesi Fireside Chat yang sarat dengan isu penting bertajuk “Signed, Sealed... Trapped?” – Menangani Kontrak PR yang Tidak Adil.”
PERSATUAN Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia) baru-baru inni telah menganjurkan sebuah sesi Fireside Chat yang sarat dengan isu penting bertajuk “Signed, Sealed... Trapped?” – Menangani Kontrak PR yang Tidak Adil” dengan sokongan MK Land.
Acara ini membongkar realiti pahit yang tidak diketengahkan dalam industri komunikasi – kontrak berat sebelah, klausa tidak munasabah dan kebergantungan terhadap janji lisan yang merugikan perunding PR dari segi undang-undang dan kewangan.
Sesi ini menghimpunkan profesional komunikasi, penasihat undang-undang, dan pemimpin korporat yang bersama-sama meneliti bagaimana amalan kontrak yang tidak adil mencerminkan tahap servis PR dihargai, malah membawa kepada situasi di mana perkhidmatan konsultan dieksploitasi.
Diskusi ini bukan sahaja bersifat kritikal tetapi juga membina, dengan seruan tegas agar berlaku anjakan struktur dalam proses rundingan, pelaksanaan dan pematuhan kontrak dalam industri.Perbincangan ini dikendali dengan penuh jelas oleh Presiden PRCA Malaysia, Prof Mohd Said Bani C.M. Din.
Dalam ucapan pembukaan, Bani menegaskan, “Isu ini bukan sekadar butiran kecil dalam dokumen perundangan – ia soal maruah, keadilan dan pengiktirafan profesional terhadap perkhidmatan PR yang selama ini diambil mudah.”
Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk situasi di mana perunding PR didesak memulakan kerja berdasarkan persetujuan lisan atau surat pelantikan, tanpa kontrak formal.
Deraf kontrak kemudiannya timbul selepas beberapa bulan namun mengandungi terma- terma perundangan yang berat sebelah seperti klausa pampasan tidak munasabah
(Liquidated Ascertained Damages), liabiliti tidak terhad, penalti prestasi keterlaluan dan hak penamatan-tanpa-sebab, yang menyebelahi klien.
Amalan ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan, tetapi juga meletakkan perunding dalam risiko undang-undang dan kerugian kewangan yang besar.
Panel profesional yang diundang menawarkan pandangan daripada pelbagai sudut:
* Sabriya Khan (Rakan kongsi di firma Salleh & Khan)
- Sabriya memberi nasihat tegas terhadap risiko perundangan apabila perunding memulakan kerja sebelum kontrak ditandatangani.
- Beliau menegaskan, banyak klausa yang sering dimasukkan seperti liabiliti tidak terhad dan
LAD adalah tidak sesuai untuk perkhidmatan PR dan tidak wajar diterima dalam apa jua
keadaan.
* Kamal Effendy (Ketua Jabatan Undang-undang Kumpulan & Setiausaha Syarikat di MK Land)
- Beliau menekankan isu jurang antara dasar tadbir urus dan realiti operasi. Beliau menyeru agar wujud kerjasama rentas jabatan – undang-undang, komunikasi korporat, kewangan dan operasi – supaya sistem kontrak dan bayaran lebih mencermin dan menghargai sifat perkhidmatan PR yang berdasarkan kepercayaan dan kerjasama.
* Shukreen Ma (Pengurus Besar Komunikasi Korporat di Malaysia Airports)
- Shukreen menggesa agar pasukan komunikasi dalam organisasi diberi kuasa untuk menolak kontrak generik yang lebih bersesuaian untuk pembekalan produk dan bukannya perkhidmatan.
- Kontrak PR, katanya, harus bersifat fleksibel, realistik dan mencerminkan dinamik sebenar kerja komunikasi yang berasaskan hasil dan adaptasi situasi.
Diskusi juga menyentuh isu seperti kelewatan pembayaran – ada yang mencecah enam bulan - tanpa mekanisme pampasan yang adil kepada perunding, serta kesamaran hak penamatan kontrak yang melemahkan hak perunding.
Menutup sesi, Bani menegaskan: “Perunding mesti sedar hak mereka dan berhenti menerima risiko sebagai norma. Klien pula perlu membina hubungan yang lebih adil jika mahukan hasil berkualiti. Kontrak bukan perangkap, tetapi alat panduan profesional yang menjunjung hormat dan akauntabiliti. Sudah tiba masanya kita bersuara dan menetapkan standard yang wajar."
Acara ini merupakan sebahagian daripada komitmen PRCA Malaysia dalam memperkasa standard industri melalui dialog terbuka, latihan profesional dan advokasi kolektif.
Dengan landskap komunikasi yang terus berubah, PRCA Malaysia kekal teguh sebagai suara utama dalam memastikan profesion perhubungan awam bukan sahaja dilaksanakan secara cemerlang, tetapi juga dilindungi dengan prinsip keadilan dan maruah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami