KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang mendapat e-baucar bernilai RM50 hingga RM100 menerusi tempahan bilik penginapan hotel secara dalam talian menerusi inisiatif Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) bermula 15 Julai sehingga 31 Dis ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelancaran inisiatif dengan kerjasama Tourism Malaysia itu bertujuan menarik minat orang ramai khususnya Keluarga Malaysia untuk membuat tempahan bilik penginapan hotel pada harga istimewa sekali gus berpotensi merancakkan aktiviti pelancongan domestik.

Beliau berkata antara pusat penginapan yang terlibat dalam inisiatif itu ialah hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) dan Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM).

"Lebih 200 hotel di bawah MAH dan MAHO akan menawarkan e-baucar bernilai RM100 dengan nilai pembelian minimum RM150 untuk 19,900 pembeli terawal manakala sebanyak 229 hotel di bawah MyBHA menawarkan e-baucar bernilai RM50 dengan nilai pembelian minimum RM60 untuk 7,960 pembeli.

"Selain itu, RHSM menawarkan rebat bernilai RM50 dengan nilai pembelian minimum RM170 (bilik standard) atau RM210 (bilik keluarga) untuk 5,970 pembeli terawal di 19 hotel mereka.

"Tempahan di RHSM boleh dibuat secara jumpa terus, e-mel atau telefon," katanya pada majlis pelancaran PRE2.0 bagi kluster penginapan di sini malam tadi.

Nancy berkata kesemua e-baucar boleh diperoleh semasa membuat tempahan bilik hotel menerusi aplikasi Shopee dengan had penebusan sebanyak tiga kali bagi setiap pemilik MyKad bermula 15 Julai hingga 31 Dis.

Beliau juga berkata kementeriannya melalui Tourism Malaysia telah melancarkan program PRE2.0 pada 17 Mei lepas dengan pemberian tawaran diskaun dan rebat di bawah sektor persatuan agensi pelancongan, pengangkutan darat, taman tema, selam skuba, inap desa serta pengangkutan udara.

Menyentuh isu penetapan mata wang Amerika Syarikat bagi tempahan penginapan hotel pula, Nancy berkata perkara itu diserahkan kepada pemain industri sekali gus berharap perbincangan menyeluruh dapat dilakukan oleh pihak terbabit.

"Kita harapkan mereka berbincang sesama sendiri dari segi implikasinya kerana kita lihat penetapan kadar tempahan menggunakan mata wang itu, persepsi orang mengenai standard industri kita juga berbeza. Ia juga berpotensi menarik minat pekerja tempatan.

"Kita serahkan keputusan itu kepada mereka namun pertimbangkan dahulu semua keputusan kerana kita bimbang jika ada pihak mengatakan kita tidak yakin dengan mata wang negara sendiri," katanya.

-- BERNAMA