MALAYSIA
Premis perniagaan libat warga asing: Hampir 15,000 kompaun dikeluarkan PBT - Nga

Menurut Nga Kor Ming, kementerian dan PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan pasar. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 14,834 kompaun dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap premis perniagaan atas pelbagai kesalahan pelanggaran syarat termasuk memindah milik lesen dan permit mereka kepada warga asing secara haram sejak 2023 hingga kini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 2,880 premis turut disita serta 23 lesen perniagaan dibatalkan atas kesalahan berkenaan.
"Perlu ditegaskan, kementerian dan PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan pasar.
"PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT kerana Kerajaan MADANI amat prihatin membantu rakyat melalui peluang perniagaan serta memastikan kelangsungan ekonomi peniaga tempatan," katanya.Beliau menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berhubung kebebasan warga asing membuka perniagaan di Malaysia khususnya dalam sektor peruncitan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Nga berkata, dasar dan peraturan sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Penjaja serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian menetapkan hanya warganegara Malaysia dibenarkan memohon lesen perniagaan dan warga asing hanya boleh diambil bekerja dengan syarat memiliki pas kerja atau permit dagang yang sah.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan dan pemantauan sentiasa dilaksanakan PBT termasuk memantau secara berkala premis perniagaan dan penjaja terutama di kawasan tumpuan warga asing serta membuat sitaan dan rampasan barangan penjaja warga asing.
Selain itu, membatalkan lesen kepada pemegang yang didapati menyalah guna permit serta syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT diperketatkan mengikut negeri masing-masing bagi mengekang operasi perniagaan warga asing.
Menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan berhubung taktik menggunakan pasangan warganegara Malaysia sebagai proksi membuka perniagaan, Nga berkata, rakyat negara ini perlu bertanggungjawab dan menghayati prinsip Rukun Negara.
"Sekiranya ada bukti kukuh, saya mengalu-alukan maklumat itu disalurkan kepada kementerian untuk tindakan segera," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami