Niat hendak membantu majlis agama Islam membanteras gejala maksiat, namun sebaliknya terjadi apabila ketua sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Skuad Badar, serta beberapa ahlinya, ditahan reman.

Perintah reman dua hari terhadap presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Fared Abd Latif di Mahkamah Sungai Petani, pada Khamis.

Kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 bagi kesalahan menganggotai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau didenda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Lapan ahli skuad yang direman itu, berusia 20-an hingga 40-an, ditahan polis pada Rabu malam di sekitar Sungai Petani, Kedah.

Presiden Skuad Badar itu ditahan pada Ahad jam 10 malam, selain seorang lagi ahli skuad berusia 30-an yang turut ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Ahad 11.30 malam.