KUALA LUMPUR : Lembaga Disiplin UMNO seharusnya mengambil tindakan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tindakannya yang dikatakan menyanggahi keputusan yang dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

Demikian tegas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mendakwa, Zahid juga perlu dikenakan tindakan kerana terbabit dalam isu surat sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Perhimpunan Agung UMNO menyebut dengan jelas menyokong kerajaan PN sampai pilihan raya. ‘No Anwar No DAP’. Didapati ada tiga kejadian yang berlaku yang melibatkan Presiden (UMNO) menyokong Anwar.

“Yang pertama, surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong. Kalau hendak mengatakan bahawa kami menyokong untuk menarik diri... itu sesuatu yang tidak benar, dan dihantar kepada Agong, kita tak boleh berbohong dengan Agong.

"Selain itu, isu audio percakapan yang membabitkan presiden UMNO itu dengan Datuk Seri Anwar juga tidak berani diperkatakan di kalangan pemimpin UMNO yang lain sedangkan ia telah diketahui umum.

"“Yang ketiganya adalah pengakuan oleh seorang Ahli Parlimen yang mengatakan bahawa dia telah tandatangan untuk menyokong Anwar itu di depan presiden dan di depan Anwar," dakwanya pada sidang media berkenaan.


Presiden UMNO patut dikenakan tindakan - Datuk Seri Shahidan Kassim

Selain itu, Shahidan juga menyelar keputusan UMNO yang didakwanya seolah-olah melakukan ugutan apabila memberikan tempoh 14 hari untuk kerajaan membuka semula sidang Parlimen.

“Kami sebagai Ahli Parlimen, kamilah sepatutnya minta disegerakan. Kita menyokong malah sebelum inipun kita minta bersidang. Untuk Biro Politik UMNO minta diadakan dalam tempoh 14 hari adalah tidak tepat.

“Kerajaan sekarang dianggotai oleh UMNO... 20 orang timbalan menteri dan juga menteri berada di dalam kerajaan sekarang. Saya rasa kita patut bercakap bukan macam Anwar bercakap ataupun DAP bercakap," katanya.