NATIONAL
Prestasi 27 KSU dinilai di bawah sistem baharu DEEP - KSN

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, DEEP mula dilaksanakan secara rasmi pada tahun ini selepas melalui fasa rintis pada 2024 yang melibatkan 13 KSU. - Astro AWANI/Yasmin Natasha
SEPANG : Seramai 27 Ketua Setiausaha Negara (KSN) kementerian kini sedang dinilai di bawah pelaksanaan penuh Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) yang diperkenalkan kerajaan bagi mempertingkat tahap kecekapan, integriti dan akauntabiliti kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, laporan prestasi suku pertama bagi kesemua KSN yang terlibat dijangka dibentangkan kepada beliau pada awal Mei ini, menjadikan ia antara pelaporan prestasi berskala besar pertama melibatkan penilaian menyeluruh yang merangkumi dimensi kewangan, program, kepimpinan dan maklum balas dalaman.
“DEEP telah melalui fasa rintis membabitkan 13 KSN pada 2024, dan bermula tahun ini, ia dilaksanakan secara menyeluruh. Saya akan menilai sendiri laporan suku pertama prestasi mereka tidak lama lagi,” katanya selepas sesi Round Table Agenda Tadbir Urus Negara di Sepang, hari ini.
Menurut beliau, sistem DEEP bukan sekadar penilaian konvensional, sebaliknya merupakan mekanisme kawalan strategik berasaskan data yang menggabungkan pendekatan penilaian berkala bulanan, suku tahunan dan separuh tahun, serta menampilkan elemen remerit untuk mengiktiraf peningkatan prestasi.“Tiga dimensi utama penilaian dalam DEEP merangkumi aspek generik (75 peratus), fungsi kementerian (15 peratus) dan maklum balas kakitangan melalui tinjauan dalaman (10 peratus). Ia memberi gambaran menyeluruh terhadap tahap kecekapan dan keberkesanan kepimpinan sesebuah kementerian,” ujarnya.
Antara indikator utama dalam Dimensi Generik termasuk keberkesanan perbelanjaan operasi dan pembangunan, status pelaksanaan projek sebelum bermula (pre-implementation), kelewatan projek serta rekod salah laku. Bagi Dimensi Fungsional, tumpuan diberikan kepada penilaian tiga program berimpak tinggi di setiap kementerian, manakala Dimensi Tinjauan pula menilai kepuasan dan persepsi warga kerja terhadap kepimpinan tertinggi kementerian.
Tambah beliau, DEEP merupakan salah satu pemacu utama dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan menyokong pencapaian lima Teras Keberhasilan Reformasi (TKR) dalam usaha menjadikan penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap, telus dan berfokuskan hasil.
“Ini bukan soal menakutkan pegawai tertinggi, tetapi memastikan kita semua accountable terhadap amanah rakyat. Penilaian mesti berpaksikan prestasi sebenar, bukan hanya persepsi,” tegas Tan Sri Shamsul.
Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan DEEP berpotensi dijadikan model penilaian strategik untuk jawatan-jawatan utama kerajaan lain, termasuk Ketua Pengarah agensi, Pegawai Daerah, dan Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebagai langkah meluaskan budaya prestasi tinggi dalam sektor awam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami