PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prestasi penjawat awam sebagai membanggakan serta berkeupayaan menangani pelbagai cabaran dengan berkesan, meskipun berdepan tekanan berikutan krisis tenaga global yang masih berterusan.
Beliau berkata, budaya dan tradisi dalam perkhidmatan awam yang diperkukuh melalui ketegasan, semangat kesatuan serta perpaduan menjadi antara faktor utama kejayaan dan prestasi cemerlang sektor berkenaan.
Advertisement
“Syukur kepada Allah SWT, walaupun kritikan terhadap ahli politik dan penjawat awam tidak pernah berhenti, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa prestasi penjawat awam di negara ini secara umumnya sangat baik berbanding negara lain.
“Yang menakjubkan, syukur Alhamdulillah, budaya dan tradisi perkhidmatan awam kita menunjukkan bahawa apabila ada ketegasan serta semangat kesatuan dan perpaduan, banyak perkara dapat diselesaikan. Lihat sahaja prestasi negara kita, bukan sahaja sebelum krisis, tetapi juga selepas menghadapi krisis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa penjawat awam agar memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat serta pandangan kepada rakyat, dan tidak sekadar berperanan mempertahankan kerajaan.
“Penjawat awam perlu menjelaskan perkara sebenar. Ini bukan soal mempertahankan Perdana Menteri, menteri atau kerajaan, tetapi menyatakan kebenaran serta memberi pandangan balas sekiranya terdapat perkara yang tidak disenangi atau perlu diusulkan,” katanya.