MALAYSIA
Prinsip ESG ASEAN perlu melangkau perkiraan korporat - TPM Fadillah

Fadillah berkata ketika menyampaikan ucaptama pada ASEAN Law Forum 2025 di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Usaha ASEAN dalam peralihan tenaga, pengurusan air yang mampan dan infrastruktur berdaya tahan iklim perlu dipandu oleh prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang melangkau perkiraan korporat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) perlu dilihat bukan sekadar alat pelaporan korporat, tetapi sebagai asas membentuk peraturan kerajaan, penguatkuasaan institusi dan tingkah laku pasaran.
- SG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) perlu dilihat bukan sekadar alat pelaporan korporat, tetapi sebagai asas membentuk peraturan kerajaan, penguatkuasaan institusi dan tingkah laku pasaran.
- Konsep just transition dalam sektor tenaga ditekankan sebagai keutamaan untuk memastikan keterangkuman dan keadilan dalam reformasi ekonomi dan alam sekitar.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran, Setiausaha Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) Anna Joubin-Bret, Menteri Kehakiman Timor-Leste Sergio de Jesus Fernandes da Costa Hornai dan Timbalan Menteri Kehakiman Laos Ketsana Phommachanh.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ASEAN memerlukan sistem tadbir urus yang setara dengan aspirasi iklim, menghormati perlindungan sosial dan mengutamakan akauntabiliti.
"Untuk kejayaan, kita memerlukan sistem tadbir urus yang sepadan dengan aspirasi iklim, menghormati perlindungan sosial dan mengutamakan akauntabiliti. Ini memerlukan sistem keadilan dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang boleh diakses, cekap dan adil," katanya.
Beliau menyambut baik perbincangan mengenai isu ESG pada forum itu, sambil menyifatkan ia sebagai platform yang bersesuaian untuk ASEAN memperkukuh kapasiti timbang tara dalam rantaian bekalan global.
"Ia juga platform yang tepat untuk kita meneroka usaha wajar, memperkukuh kapasiti timbang tara dan memperlengkap ASEAN mendepani hubungan dinamik perdagangan, undang-undang dan kemampanan," katanya.
Menyentuh mengenai keadilan dalam konteks yang lebih luas, Fadillah berkata untuk sektor tenaga 'just transition' perlu menjadi keutamaan dan ia tidak boleh diketepikan bagi memastikan keadilan dan keterangkuman dalam reformasi ekonomi serta alam sekitar.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa forum itu berupaya menghasilkan penyelesaian praktikal untuk memperkukuh kerjasama, meningkatkan akses kepada keadilan dan menggalakkan pertumbuhan inklusif di seluruh rantau berkenaan.
"Apabila undang-undang jelas, remedi mudah dicapai, dan keadilan dilaksanakan tanpa rasa gentar atau pilih kasih, kita bukan sekadar melindungi hak, malah membina negara, menyemai keyakinan dan mencorak masa hadapan yang menyaksikan pertumbuhan dan keadilan bergerak seiring," kata beliau.
Forum tiga hari bermula semalam itu dianjurkan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025, memberi peluang kepada negara anggota ASEAN menyelaras usaha dalam membina institusi dan mekanisme perundangan yang kukuh serta berdaya tahan, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami