PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa menerima maklumat dalaman bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) di Pahang akan menyertai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusi BN itu berkata, dakwaan yang dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa empat ADUN BN akan melompat parti menyertai pembangkang disifatkan hanyalah propaganda yang dimainkan pembangkang.

"Di sana (Pahang) ada 16 ADUN sedia ada (BN), dan kita insya-Allah mengekalkan Pelangai ini.

"Terdapat lapan ADUN daripada Pakatan Harapan (PH), dan jumlah ini adalah jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan (negeri).

"Walaupun itu propaganda mereka, tetapi kita juga mempunyai maklumat dalaman. Sebenarnya mereka juga akan bersama-sama kami (blok kerajaan).

"Jadi cara terbaik, ialah dengan mempropagandakan seolah-olah kita yang pergi ke sana (lompat sertai pembangkang) kerana sebenarnya mereka yang mahu jadi kerajaan di peringkat negeri.

"Kita harap yang empat (ADUN) itu datang daripada mereka (PN)," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Majlis Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) Negara, di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa ADUN BN mungkin menyertai PN.

Pahang antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang antilompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober tahun lalu.

Setakat ini, PN mempunyai 17 ADUN di Pahang.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun daripada BN yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam di Selangor pada 17 Ogos lalu.

PRK pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.