PERNAH lengang suatu ketika dulu akibat COVID-19, Bazar Karat, di sini kini kembali 'hidup' seperti sedia kala.

Walaupun kebanyakan rakyat masih terkesan akibat ekonomi yang tidak stabil, tetapi lokasi ini kekal menjadi destinasi utama pelancong setiap kali singgah di negeri selatan tanah air ini.

Sampai saja di sini, pengunjung pasti teruja... Deretan kedai dengan pelbagai jenis produk, dan dihiburkan pula oleh penyanyi 'buskers' sebagai penyedap halwa telinga.

Kalau nak cari 'baju Johor', Bazar Karatlah tempat perlu dituju.

Terletak di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru, lokasi persinggahan wajib ini menawarkan pengalaman beli-belah yang cukup berbeza.

Daripada barangan terpakai, antik sehinggalah aneka pilihan makanan, semuanya ditawarkan pada harga berpatutan.

Bagi peniaga kedai The Kalis, Nurul Shuhadah Yusri dan suami, Nor Khalis Kamaruddin, mereka mengambil pendekatan kreatif untuk menarik para pelanggan.

Kedainya yang menawarkan pelbagai jenis cenderamata, pakaian serta barangan 'rare', dihias dengan tema-tema tertentu mengikut sambutan dan perayaan di Malaysia, selain diserikan dengan muzik irama tradisional.

Misalnya, sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kebanyakan pekerja di kedai tersebut memakai tanjak dan selempang bercorak Jalur Gemilang. 

"Sebenarnya peniaga kena kreatif sebab kita dah ramai peniaga (persaingan). Tetapi kreativiti itu kadang-kadang tak ada. Jadi setiap kali sambutan atau perayaan kita akan bawa kelainan.

"Contoh sambutan kemerdekaan, kalau orang satu hari pada 31 Ogos sahaja, tetapi kita akan bawa suasana merdeka ini sehingga Hari Malaysia, 16 September.

"Kita akan pakai tanjak dan setiap tahun berbeza (konsep). Tempoh hari kalau datang ada gerbang belon merdeka. Selain itu, kita juga letak pencahayaan dan muzik supaya pengunjung dapat rasa seperti berada di tempat lain," katanya kepada Astro AWANI, di sini.

.

Pasangan suami isteri itu sudah lebih 11 tahun berniaga di Bazar Karat atau lebih dikenali dengan nama Pasar Karat.

"Macam tempat saya ini ada cenderamata dan kita pernah melayani pelanggan dari Korea Selatan, Australia, Jepun dan mereka yang luar dari Malaysia memang ramai datang.

"Kehadiran pengunjung-pengunjung ini memang membantu peniaga-peniaga kecil seperti kami," kongsinya yang menawarkan barangan serendah RM7.50.

.

Selain itu, peniaga Ais Krim Roti Pelangi, Rohana Mat Isa, pula menjadikan idea roti 'legend' dengan warna-warni sebagai daya tarikan utama.

Dengan pengalaman selama tujuh tahun, produk makanan itu, dengan tawaran pilihan perisa seperti coklat dan kacang tanah mampu mencecah jualan antara 30 hingga 60 bungkus setiap malam.

"Alhamdulilah setakat ini pengunjung di Bazar Karat memang ramai pelancong. Dari Selasa sehingga hari minggu, pengunjung tak putus-putus cuma ada masa tertentu itu pengunjung biasa (tak berapa ramai).

"Ada juga pengunjung dari Singapura dan kita sebagai peniaga pun mengharapkan juga daripada mereka dapat bantu. Sejak berniaga, satu malam saya bawa lebih 60 bungkus roti, dan biasa sekitar 30 bungkus terjual. Tetapi hujung minggu mesti habis 60 bungkus," kongsinya dalam nada teruja.

Barangan 'vintage' diburu pengumpul koleksi

.


Sementara itu, peniaga-peniaga pakaian terpakai dan 'vintage' juga tidak kurang mendapat sambutan menggalakkan daripada pencinta-pencinta barangan berkenaan dan pengumpul koleksi.

Menurut Mohd Izat Hashim, kebanyakan pelanggan datang mencari koleksi-koleksi baju terpakai seperti dari Jepun dan Amerika Syarikat (AS) yang dijual pada harga serendah RM10.

"Di sini banyak cari yang barang 'vintage'. Mereka dah tahu 'vintage' sekarang dah naik (jadi trend). Maka, mereka datang sini dan kebanyakan dari luar Johor termasuk Singapura.

"Macam sekarang ini ringgit jatuh, tetapi pengunjung dari Singapura itu banyak membantu dengan mencari dan membeli barangan di Bazar Karat," kata Mohd Izat.

.

Sementara itu, mereka berharap pihak berkaitan termasuk Kerajaan Negeri boleh membantu mempromosikan lagi Bazar Karat, selain menambah baik kemudahan awam seperti tandas bagi menarik kehadiran para pengunjung.

Selain itu, segelintir peniaga berpandangan tapak Bazar Karat yang sedia ada perlu dikekalkan susulan wujud dakwaan bahawa ia akan dipindahkan.