Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia juga adalah proses untuk melihat sejauh mana jentera parti itu berupaya untuk bangkit semula dengan pendekatan kempen yang berbeza.
"Keputusan untuk bertanding itu ada kelebihan dan kelemahannya. Tetapi bagi saya sebagai sebuah parti politik, ini adalah proses dan medan ujian bagi UMNO.
"Kita boleh melihat sejauh mana jentera parti pasca PRU-14 yang lalu, benar-benar berkeupayaan untuk bangkit semula dalam perjuangannya.
"Bagi saya, ini bukan soal kemenangan atau kekalahan, tetapi yang menjadi percaturan lebih kepada sebagai medan ujian kepada kepimpinan UMNO yang baru dilantik oleh perwakilan," kata Asyraf dalam satu temubual bersama Astro AWANI.
Sebelum ini, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata adalah lebih baik untuk UMNO tidak bertanding kerana parti keramat Melayu itu kini dalam proses untuk membina dan memulihkan semula parti.
Menurutnya, jika melihat kepada PRK itu kebarangkalian untuk PKR menang sangat tinggi kerana kekosongan berlaku adalah atas faktor kesihatan Shuhaimi.