SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menawarkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada orang muda Selangor menerusi Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia antara 14 tawaran yang terkandung dalam kerangka ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Saya sedar tawaran ini, saya tidak cakap kosong. Daripada tahun 2018 hingga awal 2023, hasil pelabur yang banyak, kita telah tawarkan 89,000 peluang pekerjaan lahir daripada usaha tekad industri dan pentadbiran negeri Selangor.

“Dengan dasar baharu sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, 100,000, peluang pekerjaan ini adalah sangat realistik dan kita yakin boleh tawarkan 100,000 peluang pekerjaan untuk anak muda lima tahun yang mendatang,” katanya di sini pada Isnin malam.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Isnin malam.

Selain itu, Amirudin berkata gabungan itu menawarkan latihan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi 10,000 orang muda Selangor dengan kerjasama bersama syarikat teknologi tinggi.

Dalam masa sama, meluaskan skop peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dengan sasaran 200,000 peserta.

Turut ditawarkan bantuan mahasisiwa Kita Selangor berjumlah RM1,500 kepada setiap mahasiswa.

Jika PH-BN diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan, beliau menambah,
peluang latihan industri diberikan dengan bayaran RM1,500 sebulan bagi 2,000 orang muda Selangor.

Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun meliputi ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi; agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor; serta perkhidmatan kerajaan yang cekap dan efisien.

Selain itu, pembangunan mampan, selesa, dan berdaya huni dan Selangor negeri penyayang yang membela kepentingan rakyat.