KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 13 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan sewaktu tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, sehingga semalam.

Antara kesalahan itu adalah khianat, fitnah, mengembangkan kesalahan atau permusuhan dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A.Skandaguru berkata di Kelantan empat kertas siasatan dibuka, diikuti dengan Pulau Pinang dan Kedah masing-masing tiga kertas siasatan, Selangor pula dua kertas siasatan, dan satu di Terengganu.

"Di Kota Bahru, Kelantan, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana khianat apabila dua poster calon dan sembilan bendera sebuah parti politik dirosakkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes di Pasir Puteh pula, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak pecahkan keamanan apabila kenyataan palsu dibuat terhadap seorang calon sebuah parti politik yang didakwa tidak meletak jawatan sebagai penjawat awam.

"Di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 KK kerana fitnah apabila terdapat satu laman sosial 'Tik Tok' dengan nama akaun 'Kaunter Politik' membuat dakwaan calon sebuah parti telah menyeleweng duit zakat," katanya.

Beliau berkata setakat semalam, polis telah menerima sebanyak 127 laporan polis dengan Selangor menerima laporan tertinggi, menjangkau hingga 59 laporan, diikuti Terengganu (25), Kelantan (23), Kedah (sembilan), Pulau Pinang (enam) dan Negeri Sembilan (lima)," katanya.

Katanya polis turut meluluskan 440 permit ceramah, tertinggi di Kelantan dengan 91 permit, diikuti dengan Selangor (84), Kedah (82), Terengganu (70), Pulau Pinang (60) dan Negeri Sembilan (53).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari pengundian untuk PRN bagi enam berkenaan.

-- BERNAMA