KEPALA BATAS: Seramai 6,735 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata anggota Rela memainkan peranan penting bersama-sama pasukan keselamatan seperti polis dalam menjaga keselamatan.

"Kita sedia maklum akan berlangsung PRN di enam negeri dengan 29 Julai ini merupakan hari penamaan calon diikuti hari pengundian pada 12 Ogos.

"Jadi sudah tentu anggota Rela akan bersama-sama dengan anggota keselamatan lain bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga kelancaran PRN," katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra bersama anggota Rela Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata anggota Rela akan ditempatkan di semua kawasan terutama kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti.

Katanya pihak polis dan Rela mempunyai pengalaman dalam menghadapi pilihan raya, sehubungan itu tahap kesiapsiagaan pihak berkenaan sudah di peringkat maksimum.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Selangor dijalankan serentak dengan 12 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata Kementerian Dalam Negeri komited untuk memperkasakan Rela menjadi jabatan yang kekal relevan, justeru kerajaan telah mengambil kira keperluan Rela dari segi fizikal dan pembangunan kemahiran.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM86 juta bagi menaik taraf tiga pusat latihan Rela di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Pusat latihan itu ialah Akademi Latihan RELA Malaysia, Pusat Latihan Rela Wilayah Utara dan Pusat Latihan Rela Wilayah Timur," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah meluluskan sebanyak RM1.36 juta bagi perolehan kelengkapan Pasukan Rela Sempadan yang melibatkan alat-alat keselamatan peribadi seperti baju kalis peluru dan helmet, selain memperuntukkan RM3 juta di bawah RMK-12 bagi perolehan peralatan pascabanjir.

-- BERNAMA