KUALA TERENGGANU: Seramai 6,957 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Terengganu akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu dan Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.

Jumlah pengundi awal tersebut melibatkan 4,395 pegawai dan anggota polis, manakala baki 1,884 pula terdiri daripada anggota tentera dan 4,395 orang awam.

Daripada jumlah itu 1,397 anggota dan pegawai serta pasangan mereka dijadualkan mengundi di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Terengganu.

Sementara itu sebanyak 29 pusat pengundian dibuka di negeri itu bagi undi awal hari ini.

Pentas PRN Terengganu didominasi oleh lelaki dengan 97 peratus adalah calon jantina itu manakala hanya tiga peratus adalah wanita.

Semakan di portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati daripada 68 calon termasuk calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P0.36 Kuala Terengganu, hanya dua calon wanita dipertaruhkan di negeri itu.

Eka Lisut daripada Pakatan Harapan (PH) dicalonkan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.022 Manir sementara Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Zuraida Md Noor mewakili Pas di DUN N.015 Ladang.

Kali terakhir Pas mempertaruhkan calon wanita adalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menerusi DUN Kuala Besut.

Sementara itu, 31 DUN Terengganu menyaksikan pertembungan sengit 'satu lawan satu'.

Hanya dua DUN iaitu DUN N,014 Bandar dan N.04 Hulu Besut menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Selain calon parti tradisi daripada BN dan Pas, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meletakkan calon tunggalnya di Terengganu di DUN Bandar.

MUDA menampilkan Ketua Penerangannya, Luqman Long, 30, bagi menentang penyandang, Ahmad Shah Mohamed, 55, dari Pas.

BN pula mempertaruhkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd, 43.

Sementara DUN Hulu Besut pula menyaksikan pertembungan antara Datuk Nawi Mohamad (BN), Mie Che Hussin (Pas) dan calon tunggal Bebas di negeri itu, Che Harun Kamariah.

SPR sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN membabitkan enam negeri dan PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.

PRN ini membabitkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.

Sementara PRK Kuala Terengganu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen tersebut pada 27 Jun lepas.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos