KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir melihat faktor Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri akan menjadi penyumbang kepada keputusan pengundian hujung minggu ini.

Biarpun tidak menafikan kelesuan atau political fatigue juga akan mempengaruhi pengundi, beliau menegaskan, Pilihan Raya Negeri (PRN) tetap akan dilihat rakyat sebagai masa untuk membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan persekutuan pimpinan Anwar.

"Ketidakpuasan hati mungkin diterjemah dalam PRN. Dalam masa sama, prestasi kerajaan negeri juga menjadi taruhan - sama ada rakyat di negeri itu akan mengekalkan pemerintahan sedia ada atau pun akan diubah. Kedua-duanya akan beri kesan kepada trend pengundian kerajaan negeri.

"Suka atau tidak, PRN ini jadi satu referendum penilaian terhadap kerajaan persekutuan, sebab kita baru saja lepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Dalam keadaan lepas PRU dan dalam keadaan penat, semua parti, termasuk Pas, merasakan kepenatan itu.

"Pembentukan kerajaan perpaduan menerusi PRU akan dinilai dalam PRN ini," katanya ketika menyertai sesi diskusi bertajuk 'PRN: Referendum PMX Atau Kerajaan Negeri?' pada Selasa.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pula melihat faktor kelesuan bukan sahaja memberi impak kepada pengundi, tetapi juga calon dan penyokong mereka.

"Kempen PRU baru lapan bulan lepas. Jadi, agak sukar untuk sukarelawan dan penyokong yang selalu membantu kita untuk bagi sokongan padu seperti apa yang diberikan pada bulan November yang lepas.

"Political fatigue itu satu realiti untuk semua bukan saja pengundi tetapi juga untuk yang mendokong kempen calon juga. Ini adalah satu cabaran untuk kita," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan melihat parti kecil seperti PSM mempunyai kelebihan dalam memikat hati pengundi.

Ini kerana, beliau berpendapat parti kecil lebih fokus dalam memperjuang dan menyelesaikan isu rakyat, berbeza dengan parti besar yang lebih tertumpu isu populis.

"Parti besar ghairah berbincang tentang isu kaum dan agama sehingga naratif isu seperti gaji minimum, jaminan kerja, harga perumahan dan sebagainya (tidak diberi perhatian).

"Apa yang boleh kita katakan, parti kecil akan tengok isu yang kecil kerana parti besar akan cakap isu besar, tetapi selepas pilihan raya, cuba tanya dia, apa masalah? Dia akan cakap isu asas seperti inflasi, jaminan kerja dan sebagainya," katanya.