KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini hampir selesai dan akan dibentang kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, SOP untuk PRN Johor akan menyaksikan sedikit perbezaan berbanding apa yang dilakukan Melaka dan Sarawak dengan mengambil kira kewujudan varian baharu, Omicron.

Menurut Khairy, secara umumnya, SOP yang dikeluarkan KKM pada PRN Melaka berjaya memandangkan tiada peningkatan kes mendadak.

Demikian juga dengan SOP PRN Sarawak, jelas  beliau, juga disifatkan berjaya kerana tiada peningkatan kes.

“(Justeru) SOP di Johor lain sikit sebab datang sekali dengan Omicron. Jadi nak kata tiada peningkatan mendadak, saya tidak akan kata begitu.

“Tapi apa yang akan kita lihat di Johor ialah dari segi keseriusan kes, kemasukan ke hospital tidak meningkat dengan mendadak tapi akan ada juga peningkatan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah pada Khamis.

[LAPOR LANGSUNG] Bersatu tidak ambil mudah pengundi baharu - Wan Saiful

Ditanya berkenaan permintaan sesetengah pihak untuk membenarkan ‘walkabout’ pada PRN Johor, Khairy berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

“Kita masih lagi sedang berbincang di peringkat dalaman KKM tentang penilaian risiko tapi saya rasa hampir muktamad dari segi SOP,” ujarnya.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, baru-baru ini mencadangkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara melonggarkan SOP untuk calon yang bakal bertanding dalam PRN Johor.

Antara kelonggaran yang dicadangkan ialah membenarkan aktiviti ‘walkabout’ supaya calon dapat berjumpa pengundi terutamanya pengundi baharu yang didaftarkan secara autmatik dan juga pengundi muda.