KUALA LUMPUR: Menjelang hujung Mei 2021, satu kajian menunjukkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah mencatatkan 70 peratus kes baharu COVID-19 di negeri itu dan 64.4 peratus kes baharu di Malaysia.

PRN itu diadakan pada 26 September 2020 susulan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (UMNO-BN) mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan enggan menyerah begitu sahaja, sebaliknya, berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN, sekali gus memberi laluan kepada PRN.

Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengakui, PRN Sabah menjadi titik tolak permulaan gelombang baharu COVID-19 di negara ini.

Kini, satu lagi pilihan raya negeri hampir pasti tidak dapat dielakkan iaitu Melaka, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada Isnin ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan pilihan raya berkenaan.

Perlu diingatkan, PRN Sarawak juga semakin menghampiri apabila tempoh Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 2 Ogos tahun lepas akan tamat pada 2 Februari 2022, selain PRK Parlimen Batu Sapi, PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya yang masih belum ditentukan tarikhnya.

Astro AWANI meneliti peristiwa pilihan raya umum yang diadakan di beberapa buah negara ketika dunia sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, keberkesanan dan kesan susulan serta apa yang perlu kita pelajari.

SINGAPURA

Singapura merupakan antara negara yang mempunyai jumlah kes kumulatif terendah dengan kadar vaksinasi antara yang tertinggi di dunia.

Presiden Singapura, Halimah Yaakob telah membubarkan Parlimen negara itu pada 23 Jun lalu atas nasihat Perdana Menteri Lee Hsien Loong bagi memberi laluan kepada 2.65 juta pengundi berdaftar di negara itu untuk memilih wakil rakyat yang baharu bagi 93 kerusi Parlimen.

Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura telah menetapkan beberapa langkah keselamatan untuk pengundi, termasuk tidak membenarkan mereka yang telah dijangkiti COVID-19 atau dikenakan perintah kuarantin berada di pusat-pusat kuarantin untuk keluar mengundi.

Namun, terdapat slot khas yang disediakan untuk pengundi yang dikenakan notis 'stay home', memiliki cuti sakit atau yang mengalami demam dengan suhu 37.5 darjah Celcius ke atas iaitu antara pukul 7 hingga 8 malam.

Pengundi dengan slot masa khas ini juga tidak dibenarkan untuk mengguna pengangkutan awam dan harus pulang dengan kadar segera selepas selesai mengundi.

Dan mereka yang dikenakan perintah 'stay home' wajib untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum meninggalkan kediaman masing-masing.

Selain itu, ELD juga menyediakan empat stesen mengundi khas di Marina Bay Sands dan satu di Marriot South Beach serta pengundi kategori ini harus berada dalam bilik yang disediakan sebelum pasukan khas akan membawa kotak mengundi terus kepada mereka.

Bagi pengundi lain, mereka diberi masa sekitar dua jam yang akan dinyatakan di kad mengundi dan kad digital di aplikasi mobil SingPass masing-masing.

Pengundi senior berusia 65 tahun ke atas pula diberi masa khas bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari untuk mengundi dan bagi mereka yang memerlukan bantuan, ahli keluarga mereka dibenarkan untuk menemani pengundi berkenaan.

Sebelum pengundi meninggalkan kediaman rumah masing-masing, mereka harus membawa bersama-sama kad pengenalan atau pasport serta kad mengundi atau kad mengundi digital ke fasiliti untuk diperiksa.

Selepas itu, pengundi akan melalui saringan untuk memastikan mereka tidak demam atau mengalami gejala sebelum dibenarkan berbaris ke tempat membuang undi.

Ketika di tempat mengundi, mereka harus mengamalkan penjarakan 1 meter antara satu sama lain, memakai topeng muka di tempat mengundi dan perlu mensanitasi tangan serta memakai sarung tangan getah pakai buang (disposable) sebelum diberikan kertas mengundi.

Melalui pemakaian sarung tangan tersebut, ia akan meminimakan risiko penularan COVID-19.

Apabila mereka selesai mengundi, petugas akan mula membersihkan dan menyahkuman beberapa area yang sering disentuh seperti ruangan mengundi dan pen yang disediakan.

Kebiasaannya pengundi diberi waktu lima minit untuk mengundi - ini termasuk pendaftaran, sanitasi diri, memakai sarung tangan, dan mengundi.

Sepanjang tempoh kempen pengundian, tiada perhimpunan politik dibenarkan, jabat tangan diganti dengan 'fist bump' dan calon-calon parti diwajibkan memakai topeng sewaktu berjumpa dengan pengundi di kawasan masing-masing.

INDIA

India merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat COVID-19, biarpun negara itu memiliki kilang penghasilan vaksin terbesar di dunia.

Pada 2020 sahaja, beberapa pilihan raya pelbagai peringkat telah diadakan merangkumi Lok Sabha (bersamaan Dewan Rakyat Parlimen Malaysia), Rajya Sabha (Dewan Negara), pilihan raya tiga negeri dan beberapa lagi melibatkan majlis dan kerajaan tempatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) India telah menetapkan garis panduan SOP yang perlu diikuti pilihan raya di semua peringkat.

Hanya 1,000 pegundi maksimum dibenarkan berada di sesebuah stesen mengundi pada satu-satu masa.

Mana-mana pengundi yang dikesan mempunyai suhu badan yang tinggi akan melalui ujian thermal untuk kali kedua dan jika keputusan masih sama, individu tersebut akan diberikan token dan diminta datang semula pada jam-jam terakhir waktu mengundi.

Pesakit COVID-19 dan mereka yang dikenakan notis 'stay home' dibenarkan mengundi pada jam-jam terakhir proses pengundian..

Ketika di ruangan mengundi, terdapat tiga barisan yang disediakan - lelaki, wanita dan warga emas serta mereka yang memerlukan bantuan khusus.

Setiap pengundi yang berbaris perlu berada dalam bulatan dengan jarak enam kaki antara satu sama lain.

Pengundi diminta membuka topeng muka apabila tiba gilirannya, bagi membolehkan proses pengesahan identiti oleh pegawai bertugas.

Sarung tangan juga disediakan untuk membolehkan pengundi menggunakan mesin pengundian elektronik (EVM).

Bagi tujuan kempen, EC India akan membenarkan fasiliti pencalonan dalam talian bagi calon-calon wakil rakyat.

Sewaktu berkempen dari rumah ke rumah, jumlah rombongan tidak boleh melebihi lima orang termasuk calon berkenaan.

Pegawai pilihan raya daerah yang bertugas akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk perjumpaan berkaitan pilihan raya dan setiap kawasan perhimpunan awam perlu mempunyai laluan keluar masuk yang ditanda dengan jelas.

Bagi konvoi wakil-wakil pilihan raya pula, hanya lima kenderaan dibenarkan berbanding sepuluh sebelum ini. Dan jarak masa antara konvoi ialah setengah jam.

AMERIKA SYARIKAT

Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) antara Donald dan Joe Biden telah berlangsung di 51 negeri berasingan dan dikawal selia oleh dua badan iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC), dan Suruhanjaya Pentadbiran Pilihan Raya (EAC).

Antara 21 Januari hingga 31 Oktober, negara itu telah mencatatkan kes kumulatif sebanyak 9,105,230, dengan 229,932 kematian dan pilihan raya itu bermula tiga hari kemudian iaitu pada 3 November, 2020.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS telah menetapkan beberapa garis panduan untuk penyeliaan pusat pengundi, antaranya, mempunyai pelbagai pilihan kaedah mengundi, waktu mengundi yang lebih panjang serta apa-apa langkah yang boleh mengurangkan jumlah pengundi yang ramai dalam sesuatu pusat mengundi.

Untuk petugas, CDC AS menyarankan agar meletakkan cecair sanitasi tangan dengan kadar 60 peratus alkohol di tempat yang strategik seperti laluan pertembungan antara pengundi dan petugas, di mesin-mesin mengundi, meja pendaftaran, tempat sticker "I Voted" dibuang dan laluan keluar.

Petugas digalakkan untuk sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun, untuk sekurang-kurangnya 20 saat.

Petugas juga diwajibkan memakai topeng muka sepanjang masa dan perlu memastikan bagaimana menggunakan peralatan tersebut dengan betul termasuk cara memakai, menyimpan atau membuangnya selepas selesai digunakan termasuk menggalakkan pengundi untuk melakukan perkara yang sama.

Namun CDC AS juga menetapkan garis panduan bahawa kanak-kanak berusia kurang dari dua tahun, mereka yang mengalami kesukaran bernafas atau tidak sedarkan diri atau mereka yang tidak mampu memakai atau menanggalkannya sendiri, sama sekali tidak boleh diarah memakai topeng muka.

CDC AS juga mewajibkan setiap pusat pengundian tertutup mempunyai sistem pengudaraan yang menepati piaiawan yang ditetapkan supaya tidak berlaku jangkitan COVID-19 akibat pernafasan.

Selain itu ruang antara ruang mengundi atau jarak antara pengundi perlu menepati piawaian termasuk galakan untuk menyediakan pusat mengundi yang lebih luas, jarak barisan yang lebih minimum serta pemanjangan tempoh mengundi berdasarkan perundangan di negeri masing-masing.

Menarik juga untuk dilihat di mana lima negeri di AS telah melaksanakan 100 peratus undi pos dan pengundi berdaftar diberikan pek mengundi bagi mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Susulan pelaksanaan itu, undi pos di AS telah meningkat sebanyak kepada 42.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di AS, merangkumi kira-kira 65 juta individu.

ISRAEL

Israel merupakan negara pertama yang menghadapi pilihan raya umum sebanyak dua kali sewaktu era pandemik COVID-19 iaitu pada tahun 2020, dan 2021.

Pada pilihan raya umum kedua yang berlangsung pada Mac 2021, Knesset (sistem Parlimen tunggal) telah dibubarkan kerana kegagalan meluluskan bajet tahunan negara berkenaan di saat 4,000 kes baharu harian telah dilaporkan.

Israel mempunyai sistem kesihatan dalam talian yang unggul dan berdasarkan perundangan sedia ada, setiap rakyat Israel diwajibkan untuk mendaftar dengan mana-mana empat badan pengurusan kesihatan negara sekali gus membolehkan kerajaan merangka kempen vaksinasi dan polisi kesihatan berkaitan COVID-19 dengan jayanya.

Sewaktu hari pengundian, lebih 15,000 stesen mengundi dibuka berbanding 11,000 pada pilihan raya umum 2020 dengan tujuan mengurangkan kesesakan di kalangan pengundi.

Selain itu, ia juga dapat memberi alternatif kepada pelbagai lapisan populasi termasuk mereka yang sedang dikuarantin untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab.

Semua pengundi yang hadir diwajibkan memakai topeng muka dan kegagalan mematuhi arahan itu menyebabkan mereka dihalang masuk ke tempat pengundian.

Untuk memastikan penjarakan sosial yang berpatutan, pengundi diarahkan berada pada jarak dua meter antara satu sama lain.

Pengundi juga diwajibkan mensanitasi tangan mereka sebanyak dua kali iaitu sebelum memasuki bilik mengundi dan apabila sudah disahkan identiti sebelum mengundi.

Selain itu, terdapat skrin penghadang lutsinar antara pengundi dan petugas di setiap stesen pengundian.

Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (CEC) Israel juga telah membuka hampir 500 pusat pengundian khas di rumah jagaan, fasiliti kehidupan serta lain-lain kompleks khusus untuk warga emas.

Sebanyak 800 pusat pengundian dikhaskan untuk mereka yang perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah, dan mereka yang disahkan positif COVID-19.

Kebanyakan pusat pengundian khas ini dilakukan di ruang yang luas seperti tempat meletak kereta atau kompleks sukan.

Selain itu, 50 stesen mengundi di buka di hospital khusus untuk merawat pesakit COVID-19 dan empat lagi bagi rakyat yang menjalani kuarantin di motel COVID-19.

Bagi tujuan kempen, CEC Israel menetapkan maksimum 20 orang untuk perhimpunan awam di ruangan tertutup (indoor) dan 50 orang untuk ruangan terbuka (outdoor).