KUALA LUMPUR: Pas mengingatkan ahli-ahlinya agar memberikan komitmen maksimum bagi memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) dalam enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan ahli-ahli parti itu hendaklah mematuhi arahan yang dikeluarkan pemimpin parti itu, khususnya Jabatan Pilihan Raya Pas.

"Secara tegasnya sebarang tindakan yang menyalahi dan merugikan parti adalah suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sehingga dipecat.

"Ini termasuklah sebarang tindakan, seumpama menjadi calon atau menyokong calon selain daripada calon PN," katanya.

Selain memberi komitmen maksimum, Takiyuddin menegaskan Pas mewajibkan semua ahli dan penyokong parti itu agar keluar mengundi awal dan memberikan undi masing-masing kepada calon PN.

"Pas yakin dengan perjuangannya yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara yang digerakkan bersama gabungan PN akan terus diberikan mandat untuk mara berkhidmat di peringkat negeri dan negara," katanya lagi.

Ahli Parlimen Kota Bharu turut mengeluarkan arahan kepada semua ahli Pas agar tidak membuat sebarang kenyataan kecuali selepas diizinkan presiden mereka.

"Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden Pas bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan khususnya dalam tempoh pilihan raya ini," katanya.