Serangan Israel di Gaza ragut 23 nyawa, antara hari paling berdarah sejak gencatan senjata

Seorang rakyat Palestin yang cedera dibawa menggunakan kerusi roda melepasi dua mayat yang dibalut dengan selimut selepas terbunuh dalam serangan tentera Israel ke atas sebuah kem khemah. - Foto AP
GAZA: Israel membunuh sekurang-kurangnya 23 rakyat Palestin dalam serangan di seluruh Semenanjung Gaza dalam antara hari paling berdarah sejak gencatan senjata yang bermula pada Oktober lalu, menurut sumber perubatan.
Sumber itu memberitahu Al Jazeera bahawa beberapa kanak-kanak turut menjadi mangsa pada Rabu, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam bedilan Israel di kawasan kejiranan Tuffah dan Zeitoun di Bandaraya Gaza.
Empat lagi dilaporkan maut dalam serangan ke atas khemah yang menempatkan penduduk dipindahkan di kawasan Qizan Abu Rashwan, selatan Khan Younis, di selatan Gaza.
Dua lagi terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas kem khemah pantai al-Mawasi.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan seorang daripada mangsa ialah petugas kecemasan, Hussein Hasan Hussein al-Sumairy.
Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum, yang melaporkan dari Khan Younis berkata beberapa rumah kediaman di Bandaraya Gaza disasarkan secara langsung tanpa sebarang amaran awal.
Beliau berkata serangan yang berlaku walaupun gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat masih berkuat kuasa menyebabkan penduduk Gaza terus hidup dalam ketakutan.
Tentera Israel Defense Forces memaklumkan unit berperisai dan pesawatnya melancarkan serangan di utara Gaza selepas seorang pegawai simpanan mereka cedera parah akibat tembakan ketika menjalankan operasi rutin berhampiran “garisan kuning”, iaitu kawasan di bawah kawalan tentera Israel.
Menurut laporan, Israel turut mengubah kedudukan “garisan kuning” di timur Gaza, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Israel dilaporkan telah membunuh lebih 520 rakyat Palestin sejak gencatan senjata berkuat kuasa hampir empat bulan lalu.
Sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 71,803 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia serta siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan ketenteraan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai, manakala kes berkaitan sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

