PRN Sabah: Paip usang, penggunaan pam air antara punca gangguan bekalan di Karamunting - George Hiew

Hiew berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani isu air di seluruh Sabah, termasuk di Sandakan, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Masalah gangguan bekalan air yang sekian lama menghantui penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting berpunca daripada sistem paip lama serta penggunaan pam air secara berlebihan oleh penduduk di kawasan tertentu.
Penyandang kerusi DUN Karamunting, Datuk George Hiew, menjelaskan, sebahagian besar sistem paip di kawasan itu masih menggunakan infrastruktur lama sejak era British, sekali gus menjejaskan tekanan air di banyak kawasan.
“Ini saya mahu jelaskan tentang masalah bekalan air di kawasan ini. Kawasan Karamunting merupakan kawasan lama yang sudah dibangunkan sejak tahun 1980-an, malah sebahagian sistem paip yang digunakan dibangunkan sejak zaman British.
“Oleh kerana paip-paip ini belum dinaik taraf, tekanan air menjadi lemah, lebih-lebih lagi dalam tempoh lebih 10 tahun kebelakangan ini apabila banyak taman perumahan baharu dibuka, seperti di Batu 4, IJM, Batu 7 hingga Batu 16.
“Kawasan Karamunting pula terletak di bahagian paling hujung, jadi apabila tekanan air sampai ke sini, bekalannya sudah tidak mencukupi,” jelasnya.
Hiew berkata demikian kepada Astro AWANI susulan laporan mengenai masalah air dihadapi penduduk di sekitar kawasan DUN Karamunting khususnya melibatkan penduduk di Kampung Karamunting Baru.
Menurut Hiew, satu lagi faktor utama yang menyumbang kepada kekurangan air ialah penggunaan pam air (water pump) oleh penduduk di kawasan kampung, yang menyebabkan aliran air ke rumah lain menjadi perlahan atau terhenti sama sekali.
“Apabila rumah di bahagian hadapan paip utama memasang pam air dan menghidupkannya, rumah-rumah di bahagian belakang tidak dapat menerima bekalan.
“Disebabkan itu, kami menasihatkan penduduk agar mengurangkan penggunaan pam air. Memang benar, apabila menggunakan pam, tekanan air di rumah mereka menjadi kuat, tetapi pada masa yang sama, rumah di belakang akan terjejas dan tidak mendapat bekalan air yang mencukupi.
“Kebanyakan mereka hanya menerima air pada waktu tengah malam atau awal subuh sahaja,” jelasnya lagi.
Justeru, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani isu air di seluruh Sabah, termasuk di Sandakan, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berusaha menambah beberapa tangki besar di kawasan Sandakan bagi meningkatkan kapasiti bekalan air.
“Kita juga dapat lihat kerajaan sekarang mempunyai banyak perancangan jangka panjang untuk menaik taraf sistem air dan membangunkan infrastruktur yang lebih baik, bukan sahaja di Karamunting, tetapi di seluruh Sabah.
“Selain itu, kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, dan kerja-kerja menaik taraf sedang berjalan. Malah, melalui Belanjawan Malaysia yang diumumkan baru-baru ini, sebanyak RM6.9 bilion diperuntukkan kepada Sabah, dan peruntukan ini amat penting bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini,” katanya.
Tambah Hiew, beberapa langkah jangka pendek turut diambil, antaranya pemasangan ‘inline booster’ di kawasan Bandar Leila tahun lalu, yang menunjukkan peningkatan tekanan air kepada penduduk setempat.
“Kita nampak ada perubahan selepas ‘booster’ itu dipasang, dan kita bercadang untuk buat lagi di beberapa lokasi lain. Dalam kapasiti saya, saya sudah buat yang terbaik untuk bantu selesaikan masalah ini,” jelasnya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

