Industri pertanian di Sabah akan mengalami transformasi secara menyeluruh bagi memacu negeri ini menjadi negeri pengeluar dan pengeksport pertanian.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, misi itu merupakan hala tuju pihaknya jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 hujung bulan ini.

Bung Moktar yang juga calon DUN Lamag berkata, pelan pembangunan industri pertanian telah pun dirangka dalam usaha memperkasa sektor itu agar lebih tersusun dan menyeluruh.

"Kenapa Sabah mundur dari segi industri pertanian sedangkan tanah kita di negeri ini terbentang luas tetapi terbiar. Saya tidak menyalahkan sepenuhnya Kerajaan Warisan dan pemimpin-pemimpin terdahulu juga.

“Rata-rata pelantikan menteri mengikut kuota tidak mengikut latar belakang seseorang. Hari ini kita buat hala tuju termasuk pelan pembangunan kerana sekiranya kita dapat membentuk kerajaan negeri kita ada hala tuju itu (sektor pertanian),” katanya ketika ditemui media selepas membuat lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Garam pada Ahad.

Bukan itu sahaja, Bung Moktar berkata, pemerkasaan industri pertanian itu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengikut zon-zon dan daerah di negeri ini.

Kata beliau, setiap daerah akan dikenal pasti mampu menghasilkan sesuatu pertanian.

“Jika ada 14 daerah kita ada 14 jenis pertanian yang boleh dihasilkan. Ini mampu mengangkat sektor pertanian di negeri ini,” katanya.