PRN Sabah tetap diteruskan walaupun kes COVID-19 meningkat - Takiyuddin

Petrus Bernard
September 7, 2020 23:37 MYT
Takiyuddin bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Makan Malam Perdana Pas yang dihadiri perwakilan dari seluruh negeri Sabah di Dewan Hotel Royal Borneo, Tawau, malam tadi. - Astro AWANI
Walaupun kes positif COVID-19 di Sabah menyaksikan peningkatan ketika ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diteruskan, kata Datuk Takiyuddin Hassan.
Kecuali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu, sekiranya hasil keputusan Mahkamah Rayuan yang mencabar perkenan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, memihak kepada bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman.
"Undang-undang jelas, bahawa apabila berlakunya pembubaran Dewan, kita perlu adakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari, kecuali kalau sekiranya ada keputusan di sebaliknya.
"Oleh sebab itulah, di mahkamah sekarang ini ada dua kes. Satunya, kes yang mencabar kesahihan pembubaran oleh TYT yang terbaru. Kes yang kedua, kes yang telah lama," katanya, merujuk kepada kes tahun 2018.
Mahkamah Rayuan semalam menangguhkan prosiding rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, termasuk Musa, untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pembubaran DUN oleh TYT pada 30 Julai lepas.
Hakim menetapkan prosiding berkenaan disambung hari ini.
Namun, kata Takiyuddin, bagi meneruskan PRN Sabah, kerajaan harus menyediakan satu kaedah yang lebih selamat bagi memastikan tiada penularan COVID-19 berlaku di kalangan pengundi.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Bubar DUN - Mahkamah dengar permohonan 33 ADUN hari ini
BACA: DUN Sabah bubar: Ini 10 perkara anda perlu tahu dari sidang akhbar Shafie Apdal
BACA: Bubar DUN Sabah: Kronologi kes cabar keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah oleh Musa Aman
Tetapi, tambah beliau yang juga Setiausaha Agung Pas, ia pasti akan melibatkan kos yang sangat tinggi.
"Pokoknya, mahu atau tidak mahu, kerajaan perlu membuat persiapan walaupun di zaman COVID ni.
"Saya pernah jawab di dalam Parlimen, jika sekiranya di seluruh negara dibubarkan Dewan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kita terpaksa menyiapkan satu peruntukan yang begitu tinggi.
"Kalau pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kita membelanjakan sekitar RM500 juta, masa ini, kalau seluruh Parlimen dan DUN di Malaysia ini dibubarkan, kita perlu sekitar RM1.2 bilion," katanya.
Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Perdana Pas yang dihadiri perwakilan dari seluruh negeri Sabah di Dewan Hotel Royal Borneo, malam tadi.
BACA: Kes semakan kehakiman pembubaran DUN: PRN Sabah tetap diadakan - SPR
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim, Pesuruhjaya Pas Sabah Aminuddin Aling dan Yang DiPertua Pas Tawau Mohamad Husain.
Pas turut mensasarkan beberapa kerusi DUN untuk ditandingi di Sabah pada kali ini, yang akan diumumkan dalam waktu terdekat.
Suruhanjaya Pilihan Raya pada 17 Ogos lalu menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah ke-16.
BACA: COVID-19: Rakyat Sabah masih dibenarkan masuk Sarawak - Uggah
BACA: COVID-19: Kes baharu melonjak kepada 62 kes, sebahagian besar di Kluster Benteng Lahad Datu
BACA: COVID-19: 66 kes direkodkan dalam Kluster Benteng setakat ini, kebanyakan libatkan banduan
Sehingga Isnin, daerah Tawau mencatatkan 7 kes baharu dan sebanyak 16 kes sedang dirawat di hospital. Manakala daerah Lahad Datu pula mencatatkan 44 kes baharu dan 52 kes sedang dirawat di wad.
Jumlah kes yang sedang dirawat di hospital seluruh Sabah ialah sebanyak 70, turut melibatkan masing-masing satu kes di Kinabatangan dan Semporna.
#bubar DUN #COVID-19 #Juhar Mahiruddin #kluster #Kluster Benteng #Lahad Datu #Mahkamah Rayuan #Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu #penularan #PRN Sabah #Sabah Memilih #Takiyuddin Hassan #Tawau #TYT