KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Kedah dan negeri lain sekiranya ada yang terguris hati dengan kempen Perikatan Nasional (PN) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri berlangsung.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu pada masa sama turut memaafkan individu atau pihak yang menyerangnya daripada pelbagai sudut sepanjang tempoh berkempen.

"Atas nama ukhwah Islamiah, atas sikap baik yang kita amalkan daripada tok guru yang diajarkan kepada kita, kalaulah sepanjang kempen pilihan raya ini kita ada menyakiti sesiapa, kerana ada sesetengah pihak yang terasa hati dipalu kita, menusuk kalbu dengan istilah, ucapan, dengan apa-apalah.

"Saya mewakili seluruh penyokong jentera PN memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Kedah dan rakyat negeri lain yang ada terluka, terguris hati di atas kempen yang kami jalankan.

"Ada yang kami tak sengaja, ada yang kami terpaksa, ada yang kami di-provok (dicucuk) dan ada ketika yang kami terlalu sakit untuk menahannya, maka kami lepaskan supaya kamu turut rasa apa yang kami rasa," katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Rakyat, di Alor Setar, Kedah, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut memohon ampun dan maaf di atas kekasaran bahasa dan tingkah laku sepanjang kempen melalui pelbagai platform.

"Kami orang-orang Kedah melalui media, media sosial atau ceramah atau pertemuan bersemuka, jika ada yang terasa hati, terluka dengan kami, kami mohon ampun dan maaf, kami hulurkan salam persahabatan.

"Kita hiduplah bersama di bumi Allah ini dengan harmoni untuk meneruskan kerja kita sebelum kita bertemu dengan Allah pada bila-bila masa.

"Bagi pihak diri saya, Muhammad Sanusi Md Nor yang telah diserang bertubi-tubi, bertali-arus tanpa henti, depan, belakang, atas, bawah, kiri, kanan dengan bermacam-macam fitnah dan serangan, saya maafkan semua serangan itu," jelasnya.



Muhammad Sanusi turut berseloroh mengenai kemaafan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Tuan-tuan yang tersakiti, kalau tuan-tuan boleh maafkan, tuan-tuan boleh lafazkan sendiri - yang ini saya tidak boleh wakil, sebab mungkin tuan-tuan tak maafkan Pudin (Saifuddin), saya tak tahu. Tetapi bagi pihak saya, saya maafkan.

"Kalau dia buat lagi, kita lawan lagi. Lepas itu kita tengok, nak maaf kah (atau) nak 'renyok'," kata Muhammad Sanusi.

PN mendapat kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah pada PRN, Sabtu lalu.

Pada PRN kali ini, Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah mempertahankan kerusi DUN Jeneri yang disandangnya sebelum ini, selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dengan majoriti 16,050 undi.