KUALA LANGAT: Pertandingan satu lawan satu disahkan berlangsung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 51 Sijangkang dan N. 53 Morib pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang dijadual 12 Ogos ini.

Calon Perikatan Nasional Dr Ahmad Yunus Hairi, penyandang kerusi Sijangkang selama tiga penggal, juga Pesuruhjaya Pas Selangor, akan ditentang calon muda Mohd Al Hafizi Abu Bakar dari Barisan Nasional. 

Pada PRN 14 yang lalu, Ahmad Yunus menang dengan majoriti undi sebanyak 1,677 dalam pertandingan tiga penjuru.

Pengumuman rasmi calon dibuat Pengurus Pilihanraya N51 Sijangkang Mohd Hezza Hassan sebentar tadi.

Ahmad Yunus juga adalah Ahli Parlimen Kuala Langat, memenangi kerusi tersebut Langat pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang lalu dengan undi majoriti 1,833.

Sementara itu, DUN N53 Morib turut disahkan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, Hasnul Baharuddin dari Parti Amanah Negara, yang juga penyandang sejak PRU13, dan calon Perikatan Nasional, Rosnizan Ahmad.

Pertembungan satu lawan satu di DUN Morib antara Hasnul Baharudin dari PH dan Rosnizan Ahmad dari PN. - Foto Astro AWANI


Hasnul menang di Morib dengan kelebihan undi sebanyak 2,117 pada PRN 14.

Perkara itu diumumkan oleh Pengurus Pilihanraya N53 Morib Suzaini Ahmad.

Berdasarkan keputusan PRN14 yang lalu, Pakatan Harapan memenangi 52 kerusi, Barisan Nasional menang 4 kerusi dan Perikatan Nasional 1 kerusi.

Kesemua 56 kerusi DUN Selangor dipertandingkan pada PRN15.