KUALA LUMPUR: Kurang 24 jam sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri melibatkan 173 pusat, tinjauan Bernama mendapati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan.

Di Selangor, sesi simulasi proses penamaan calon menjadi sebahagian daripada aktiviti persediaan akhir petugas SPR menjelang esok.

Antara persiapan yang dilaksanakan ialah menyusun atur kedudukan bakal calon, pencadang dan pegawai di dalam dewan mengikut prosedur ditetapkan serta proses semakan borang, dokumen dan status insolvensi yang akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Ijok dan Jeram Mohamad Yusli Askandar berkata pihaknya telah bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan proses penamaan calon esok.

Mohamad Yusli, yang ditemui di pusat penamaan calon Stadium Tertutup Kuala Selangor, berkata 100 petugas terlibat dalam proses itu esok dan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang akan menjaga keselamatan dan kelancaran di kawasan luar dewan.

Beliau turut menasihati bakal calon serta pencadang dan penyokong supaya hadir lebih awal kerana khuatir berlaku kesesakan di kawasan luar dewan.

Sementara itu, jurucakap Pejabat SPR Selangor ketika dihubungi berkata sebanyak 656 borang penamaan calon dijual sejak 5 Julai lepas di pejabat pilihan raya negeri dan pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN.

Di Pulau Pinang, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi DUN Permatang Berangan Rahim Selamat berkata petugas SPR melakukan simulasi sebanyak dua kali di Dewan Perdana Institut Kemahiran MARA Seberang Perai Utara bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

"Di sini akan melibatkan proses penamaan calon bagi DUN Permatang Berangan, Sungai Dua serta Telok Ayer Tawar dan persiapan bagi ketiga-tiga DUN setakat ini sangat memuaskan dari segi keadaan dewan.

"Kami juga bekerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad untuk memastikan perjalanan esok tidak terganggu," katanya.

Tinjauan Bernama di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi berhubung proses penamaan calon bagi DUN Sungai Puyu mendapati petugas giat melaksanakan segala persiapan termasuk dari segi penyediaan kerusi dan meja yang tersusun rapi dengan pelbagai notis ditampal di setiap sudut dewan untuk perhatian orang ramai serta penyokong parti politik.

Di Negeri Sembilan pula, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Bukit Kepayang Mohd Nizam Tajul Arus berkata sesi simulasi bagi memastikan kelancaran proses penamaan selesai dilaksanakan di pusat penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban pagi tadi.

Beliau berkata bagi memastikan proses itu berjalan lancar, setiap calon hanya boleh diiringi seorang pencadang dan penyokong untuk masuk ke pusat penamaan.

"Penyokong parti-parti yang bertanding perlu berada 50 meter di luar kawasan dengan kawalan pihak berkuasa," katanya sambil menambah sebanyak 36 pusat penamaan calon dibuka esok yang elibatkan 36 DUN di negeri itu.

Proses penamaan calon bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu esok akan berlangsung selama sejam mulai 9 pagi.

SPR menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

-- BERNAMA