SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) percaya keputusan Pilihan Raya Ngeri (PRN) masih mampu menggugat Kerajaan Persekutuan walaupun gabungan itu hanya menang di tiga daripada enam negeri.

Walaupun gagal merampas Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu tidak akan melupakan usaha untuk menerajui negara kerana keputusan pada PRN ini didakwa memperlihatkan satu anjakan perubahan yang besar.

“… yang mana saya telah sebutkan tadi (keputusan PRN) yang menunjukkan petanda yang agak nyata bahawa rakyat mahukan perubahan.

“Itu saya telah buktikan dengan bilangan kerusi yang kita telah menang jauh daripada dimenangi oleh pihak parti Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN),” katanya dalam sidang media, di sini, pada pagi Ahad.

Jelas Muhyiddin, apa pun usaha akan diteruskan tetapi paling penting adalah mengotakan janji kepada pengundi di tiga negeri yang dimenangi PN.

“Tetapi kita tidak abaikan tanggungjawab kita di negeri-negeri  yang tidak menang.

“Di mana kita miliki sejumlah wakil rakyat yang begitu ramai, macam Selangor sahaja kita ada 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 56.

“Jadi kita akan jadi satu barisan pembangkang yang kuat, dan negeri lain pun begitu juga,” ujarnya.

Pada PRN ini, PN berjaya mempertahankan tiga negeri yang iaitu Terengganu, Kelantan serta Kedah.