RANTAU: Calon Barisan Nasional (BN)  bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, di sini, hari ini.

Beliau tiba bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Mohamad kemudian terus masuk ke dalam pusat pengundian dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi, selesai pada jam 8.40 pagi.

Menteri Pertahanan itu turut sempat beramah mesra dengan pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka di DUN itu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengundi untuk turun awal kerana cuaca sekarang tidak menentu dengan kemungkinan hujan pada sebelah petang.

"Cuaca tak menentu…kerana diramalkan oleh jabatan kaji cuaca, meteorologi. Hujan akan turun berkala-kala.

"Terutama hujan ribut akan berlaku sebelah petang. Jadi, jika boleh orang ramai…pengundi keluar seawal mungkin untuk keluar undi, jalankan tanggungjawab masing-masing.

"Selepas  itu boleh lakukan kerja harian kita," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di SJKC Chung Hua pada Sabtu.

Mohamad juga berpuas hati dengan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dari tempoh kempen sehingga hari pengundian.

"Kali ini tengok kedua parti BN, Pakatan Harapan bersama-sama lagi satu parti, Perikatan Nasional menjalankan kempen pilihan raya secara sihat.

"Tidak ada kecam-mengecam, cuma masing-masing minta dan rayu supaya pengundi memberikan undi kepada mereka.

"Saya rasa perkara ini satu benda yang sihat di Rantau, di tempat lain saya tidak tahu. Tempat lain dikhabarkan panas. Di Rantau tidak begitu. Kita hormat menghormati antara satu sama lain," ujarnya.

Tegasnya, perkara paling penting bukan tempoh 14 hari berkempen itu tetapi khidmat kepada rakyat selepas selesai pilihan raya.