Kementerian Kesihatan Malaysian menyeru orang awam yang sedang menggunakan produk tradisional Aman Liquid untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata produk ini mengandungi bahan racun berjadual iaitu yohimbine.

Katanya, yohimbine adalah sejenis alkaloid yang kebiasaannya diperolehi dari tumbuhan Puasinystalia yohimbe dan digunakan dalam rawatan kegagalan erektil.

“Yohimbine tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional. Penggunaan yohimbine secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan advers serius seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, keresahan, insomnia, halusinasi dan mania.

“Yohimbine boleh memberikan kesan mudarat kepada golongan tertentu seperti perempuan mengandung, pesakit darah tinggi, jantung, buah pinggang atau hati,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan itu.

Tambahnya, penjual dan pengedar produk ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

“Penjual adalah diingatkan pemilikan produk ini untuk jualan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” kata Dr Noor Hisham.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.