KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mencadangkan supaya program Eksplorasi Merdeka Rapid KL (EMRKL) anjuran Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diteruskan pada sambutan Hari Kebangsaan akan datang.

Beliau berkata ini kerana program EMRKL 2.0 seperti yang dianjurkan hari ini sempena Hari Kebangsaan dan cuti sekolah bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi juga mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.

"Semangat berpasukan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan dapat dipertingkatkan dengan menyertai program seperti ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau peserta Eksplorasi Merdeka di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT ) Bukit Jalil di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah ketika ditemui selepas melepaskan peserta berkata program itu yang memasuki tahun kedua penganjuran berjaya menarik hampir 800 peserta melibatkan 200 kumpulan.

"Jumlah penyertaan pada kali ini meningkat empat kali ganda berbanding tahun lepas dengan 200 peserta daripada 50 kumpulan," katanya.

Beliau berkata melalui program bertemakan budaya dengan misi memupuk perpaduan itu, peserta perlu pergi ke tujuh check-point dan lokasi terpilih di jajaran rel Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Rapid KL di sekitar bandar raya Kuala Lumpur sebelum kembali semula ke Stesen LRT Bukit Jalil.

Sementara itu, Prasarana dalam kenyataan media yang diedarkan pada program itu memaklumkan penganjuran EMRKL yang berasaskan explorace itu bertujuan meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia selari dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2023 iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Menurut kenyataan itu pelbagai aktiviti dan misi menarik diselitkan dengan tema kemerdekaan serta budaya yang perlu diselesaikan oleh peserta di lokasi dan check-point tertentu di sepanjang rangkaian rel dan bas Rapid KL di sekitar ibu negara.

Kenyataan itu menyebut tugasan yang berikan kepada peserta memerlukan pemikiran aras tinggi dan kreativiti bagi membolehkan mereka menyelesaikan misi hingga ke garisan penamat.

Menurut kenyataan itu pemenang EMRKL 2.0 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, naib johan (RM2,500) dan tempat ketiga (RM1,500).

-- BERNAMA