SHAH ALAM: Program eUsahawan yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion di seluruh negara setakat ini.

Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, eUsahawan merupakan program dalam Kempen Saya Digital iaitu latihan pembelajaran luaran dan dalam talian untuk melatih individu, pelajar dan usahawan mikro dalam keusahawanan digital untuk menjana pendapatan, mempromosi produk dan meningkatkan jualan.

"Melalui program eUsahawan ini, MDEC berjaya melatih sebanyak 563,543 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion.

"Daripada jumlah itu, di Selangor sahaja sebanyak 103,858 usahawan telah mengambil peluang dan menjana jualan terkumpul melebihi RM309 juta," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Saya Digital (JSD)@ Shah Alam, di sini, pada Ahad.

Turut hadir Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Syed Ibrahim berkata, seiring dengan visi Malaysia MADANI dengan keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya, MDEC akan terus melaksanakan program seumpama agar kemakmuran dan peluang yang dicipta dapat dimanfaatkan oleh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Dalam pada itu, beliau berkata, JSD@ Shah Alam yang merupakan siri kelima dianjurkan tahun ini berlangsung selama dua hari di Pusat Beli-Belah AEON Mall Shah Alam bermula semalam dengan konsep karnival iaitu membawa aktiviti interaktif seperti bengkel pengisian literasi digital dan keusahawanan serta pertandingan 'eSport' dan ruang pameran daripada agensi kerajaan yang mengetengahkan aspek pendigitalan.

JSD memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance dan Saya Digital Kerjaya yang memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu B40, graduan menganggur, warga emas, Orang Kurang Upaya, pelajar sekolah serta universiti termasuk usahawan mikro, kecil dan sederhana.

JSD @Shah Alam dijangka menarik kehadiran lebih 1,000 orang meliputi penduduk setempat, pelajar IPT, dan pelatih institusi kemahiran serta pengunjung pusat beli-belah berkenaan. - BERNAMA