Penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin berpeluang memantapkan diri sebelum memasuki alam pekerjaan dengan menyertai aktiviti sukarelawan sekiranya program 'Gap Year' dapat dilaksanakan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata dalam tempoh 'berehat' yang dijangka selama setahun itu, pelajar boleh menjadi sukarelawan di dalam mahupun luar negara.

Katanya program tersebut dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat serta melibatkan penuntut tahun dua atau tiga dan semua penuntut boleh memohon tanpa mengira jurusan yang diambil.

"Dengan membantu masyarakat seperti berkhidmat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang kurang upaya (OKU) dan menjadi tutor di pusat pelarian...ia mungkin akan mematangkan mereka selepas tamat belajar nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Komuniti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Warisan Seni dan Rasa, di sini hari ini.

Menurutnya, penuntut yang terlibat dalam program itu juga akan digalakkan menyertai kerja sukarela bersama polis, imigresen dan kastam.

"Penyertaan penuntut IPT dalam aktiviti kesukarelawanan ini tidak akan menjejaskan prestasi akademik mereka kerana bidang yang diceburi itu nanti akan menambahkan lagi pengetahuan bekerja seperti penuntut dari Fakulti Pentadbiran Awam atau Undang-Undang,"katanya.

Sebelum ini, Idris telah memaklumkan pihaknya sedang mengkaji memberi kelonggaran kepada pelajar universiti untuk menangguhkan sementara pengajian mereka melalui konsep 'Gap Year' yang boleh diisi dengan aktiviti positif lain.

Tempoh penangguhan tersebut boleh digunakan pelajar untuk melengkapkan diri dalam bidang keusahawanan dan kesukarelawanan. -- BERNAMA