IPOH: Selepas terhenti hampir dua tahun ekoran pandemik COVID-19, program Hari Tanpa Kereta Ipoh disambung semula hari ini.

Program kali ke-50 itu, yang diadakan di Jalan Sultan Abdul Jalil dan Persiaran Bandaraya di sini, dihadiri kira-kira 500 orang, dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

Program Hari Tanpa Kereta dengan slogan Gaya Hidup Lebih Bersih, Hijau dan Pintar ini bertujuan mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan warga kota mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berharap, dengan kesedaran yang semakin meningkat, warga kota Ipoh akan menjadi komuniti yang sentiasa mengamalkan gaya hidup hijau dan rendah karbon.

“Tema program Hari Tanpa Kereta pada kali ini adalah sambutan Tahun Baru Cina yang dimeriahkan oleh persembahan tarian singa dan penyertaan pengunjung yang kebanyakannya berbaju merah.

“Ini jelas membuktikan semangat Keluarga Malaysia dalam sambutan sesuatu perayaan di Malaysia tanpa batas sempadan bangsa dan agama,” katanya pada sidang media ketika melawat program itu.



Pada majlis itu, beliau turut menerima tajaan daripada syarikat Top Glove sebanyak 10,000 unit pelitup muka dan 5,000 sarung tangan manakala syarikat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd menyumbangkan minuman isotonik 100Plus secara percuma.

Di samping itu, sempena Tahun Baru Cina, Persatuan Berbasikal Cycledios juga menyumbangkan limau mandarin sebagai simbolik perayaan kepada semua pelawat yang hadir.

Hari Tanpa Kereta Ipoh dilaksanakan pada minggu ke-4 setiap bulan, selaras dengan visi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke arah Bandar Rendah Karbon menjelang 2030.