KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bakal dimulakan esok (Rabu) yang melibatkan petugas barisan hadapan disifatkan sebagai 'game changer' kepada perjuangan Malaysia menentang pandemik COVID-19.

Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali, selain menjamin penjagaan serta perlindungan kesihatan awam, vaksinasi raya itu dijangka merancakkan ekonomi negara.

"Fokus utama program ini adalah untuk melindungi anggota barisan hadapan bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan dioptimumkan, melindungi warga berisiko tinggi, membina immuniti kelompok (herd immunity) bagi membuka semula semua sektor ekonomi.

"Vaksinasi juga berperanan mengawal wabak di kawasan berisiko tinggi sekaligus mengurangkan kadar transmisi COVID-19.

"Tidak dapat dinafikan vaksinasi raya (mass vaccination) adalah satu kemestian bagi mempercepatkan dan memastikan pemulihan ekonomi yang mampan, efektif dan lestari. Langkah ini akan merancakkan semula usaha dan aktiviti barisan hadapan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Tambahnya ekonomi yang cergas terbit dari badan yang sihat dapat dikecapi menerusi ikhtiar kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu.

Malah jelas Azmin, beliau yakin usaha itu dapat merangsang pengaluran pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

"Bank Dunia mengunjurkan bahawa dengan kejayaan pelaksanaan program vaksinasi, ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 6.7% bagi tahun 2021.

"Kami yakin usaha ini adalah ‘suntikan booster’ yang akan merangsang pengaliran pelaburan langsung asing (foreign direct investment) ke Malaysia dan memacu pemulihan ekonomi. Apabila immuniti kelompok dicapai dan semua sektor ekonomi kembali dibuka, kita dapat mencerdaskan semula sektor pelancongan yang menyediakan 3.56 juta pekerjaan, salah satu sektor penyumbang pekerjaan terbesar negara," katanya lagi.

Justeru, seluruh rakyat Malaysia kata Azmin, diseru untuk memberi dukungan penuh terhadap usaha imunisasi nasional dan memastikan kejayaan menentang COVID-19 berpihak kepada Malaysia.